Bayi yg mengalami amniotic band syndrome.

Perkongsian Daripada Mommy Lyna

Semasa anak sulung saya berumur 7 bulan, saya telah disahkan hamil sekali lagi. Alhamdulillah, kami menerima berita ini dengan penuh kegembiraan. Bayi ini dijangka akan lahir tanggal 26 Februari 2009. Masa itu saya berasa serba salah juga kerana anak sulung saya masih menyusu badan (kerana dikhuatiri susu badan akan kering semasa mengandung), namun mengenangkan ini adalah rezeki dari Allah saya menerimanya dengan gembira.

Semasa hamil 5 bulan, saya telah ditugaskan untuk satu projek di Kuala Lumpur. Pada masa itu saya bekerja dan menetap di Miri. Jadi bermula dari Ogos 2008, saya berulang alik dari Miri-Kuala Lumpur setiap bulan.

Pada 24 November 2008, di mana hari saya sepatutnya terbang ke Kuala Lumpur, saya telah mengalami kontraksi. Saya dimasukkan ke wad Pakar sakit puan melarang saya untuk terbang dan berehat di rumah selama seminggu kerana masih terlalu awal untuk bayi saya lahir (26 minggu).

Minggu berikutnya, keadaan masih tidak berubah. Saya diberi cuti sakit lagi.

Pada 2 Disember 2008, saya telah mengalami pendarahan dan dimasukkan ke hospital sekali lagi. Doktor menyuntik saya dengan suntikan dexa untuk menguatkan paru-paru bayi, andainya saya terpaksa lahirkan dia sekarang. Sedaya upaya pihak hospital berusaha menghentikan pendarahan dan kontraksi yang dikhuatiri berlaku kerana jangkitan kuman.

Pakar sakit puan telah memberitahu perkara yang amat berat untuk saya dengar “Bayi puan dalam keadaan 50-50, kerana di sini kita tak ada banyak hospital macam di KL yang canggih2”. Bayangkan perasaan saya masa tu.

Usaha yang dibuat tidak mendatangkan hasil. Kontraksi terus berlalu, darah terus keluar dan pintu rahim sudahpun terbuka. Akhirya saya dipindahkan ke hospital Miri kerana hospital2 swasta di sana tiada peralatan untuk bayi tak cukup bulan.

Lahirlah anak saya di petang Jumaat, 5 Disember di kala usianya baru 28 minggu dalam kandungan.

Yang lebih mengejutkan, selain dari kelahirannya yang tak terduga, anak saya rupanya tidak seperi bayi lain. Dia telah disahkan menghidap amniotic band syndrome di dalam kandungan menyebabkan jari-jari tangannya tidak terbentuk sempurna, jari kaki kirinya kudung dan kaki kanannya putus (kudung) hingga ke betis.

Namun pada masa itu Allah telah membantu saya. Permainan emosi kerisauan seorang ibu sebelum anak saya lahir, terubat bila mendengar tangisannya. Walaupun saya terkejut dengan keadaan anak saya namun saya bersyukur kerana dia sihat dan selamat.

Bayi itu kami namakan Fahry Al-Hazim yang bermaksud Kebanggaanku.

Disebabkan keadaannya yang mengalami kecederaan (pada bahagian kaki yang kudung itu terkeluar tulang), saya amat risau sekali sekiranya dia terkena jangkitan. Dan doctor pakar menjangkakan dia akan menjalani pembehana untuk memotong tulang kakinya itu. Setiap hari saya berdoa Allah panjangkan usia anak saya agar saya dapat menjaganya. Pada masa ini, ramai sahabat menghulurkan bantuan, dari segi moral dan barangan dari semenanjung, kerana saya mengalami masalah kekurangan susu badan.

Syukur pada Allah yang mempermudahkan perjalanan kami. Tulang kakinya ‘mati’ dan terputus sendiri tanpa perlukan pembedahan. Selepas 42 hari di dalam wad rawatan rapi bayi, Fahry dibenarkan pulang.

Kini Fahry mencecah usia setahun. Walaupun perkembangannya tidak seperti bayi sebaya dengannya, namun dari sehari ke sehari dia menunjukkan sesuatu yang baru untuk kami. Minggu lepas Fahry belajar bertepuk tangan dan melambai ‘bye-bye’. Dia kini sudah memiliki kaki palsu untuk membantunya berjalan.

Menjadi ibu kepada anak yang tidak sempurna fizikalnya membuatkan saya bertambah kuat semangat dan lebih terbuka. Siapapun anak kita, walaupun cacat, dia tetap berhak untuk mendapat peluang untuk meneroka dunia dan apa yang ada di dalamnya, sama seperti mereka yang sempurna.

Sabda Rasulullah SAW dari Abu Hurairah r.a. : “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa kamu dan harta kamu dan sesungguhnya Allah melihat kepada hati dan amal ibadah kamu”

Jadi saya telah meletakkan anak saya ini sebaris dengan manusia-manusia lain yang sempurna fizikalnya, mendidik dan mengasuhnya agar menjadi seorang Mukmin yang bersih hatinya dan tulus ibadatnya, serta bermanfaat kepada Islam.

Saya amat terasa bila ada ibu yang menyorokkan anak yang cacat, berasa rendah diri, merendah-rendahkan anak itu dan sebagainya. Kerana pemberian Allah ini adalah anugerah kepada kita yang terpilih. Allah telah memilih saya dan ibu-ibu ini untuk menjaga hamba-hamba-Nya yang istimewa ni kerana Dia tahu kamilah insan terbaik untuk mengasuh mereka. Jadi gunakanlah kesempatan ni untuk menjadikan anak-anak kita manusia hebat yagn setanding ataupun lebih hebat dari manusia biasa yagn sempurna sifat fizikalnya.

Berbanggalah wahai para ibu, bila Allah kurniakan kepadamu anak yang istimewa.

.

Mommy Lyna

http://1superkids.com

http://mysuperkids.net

This entry was posted in Kongsi Tips. Bookmark the permalink.

Tinggalkan komen