Raikanlah Fitrah Anak !


Penulis : http://www.sazliansari.blogspot.com/

Sememangnya semua ibu bapa menginginkan anak yang cerdik, pintar, bijak dan seterusnya berjaya dalam akademik. Terutama dalam situasi sekarang. Ibu bapa berlumba-lumba agar anak lebih cepat pandai membaca, menulis, mengira, membaca Al-Quran (4M) seawal mungkin. Ibu bapa akan timbul cemburu sekiranya terdapat anak-anak rakan atau jiran yang lebih terdahulu pandai 4M diatas berbanding anak mereka. Lebih-lebih lagi apabila melihat media mendedahkan terdapat kanak-kanak yang sudah pintar sains, matematik seawal umur 4 tahun dan 6 tahun. Dan ada pula kanak-kanak yang seawal umur 12 atau 13 tahun sudah memulakan pengajian di Oxford University.
Pastinya sebagai ibu bapa kita akan rasa tercabar serta terdorong untuk meletakkan anak-anak kita seperti situasi di atas.
Perubahan zaman bukan sahaja mengubah tahap kemodenan teknologi malah mengubah tahap kecerdikan dan kematangan manusia.
Sekitar 1950 hingga 1980an, di Tanah Melayu ketika itu kanak-kanak lingkungan umur 4 hingga 6 tahun, masih tidak mempunyai pelajaran formal. Malahan masih bogel berkejaran keliling rumah mahupun mandi di sungai ataupun berkubang di bendang. Pada zaman ini kanak-kanak pada umur tersebut masih seronok bermain dengan alam. Apa yang ada dalam benak fikiran mereka adalah ‘bermain’. Celik sahaja mata, belum sempat terang tanah mereka telah mulakan agenda permainan mereka sendiri. Sehinggalah meningkat umur 12 tahun. Mereka terus bermain. Dan permainan mereka adalah lebih berbentuk alami; layang-layang, gasing, godam, galah panjang, tarik upih pinang, laga sepat, laga labah-labah, mandi sungai, mengail pelbagai lagi.
Pergi sekolah bawa ‘spider’ atau guli atau gasing atau apa sahaja permainan mengikut musim. Atau setidak-tidaknya waktu rehat berkejar di kawasan lapang atau lorong; bermain galah panjang. Setibanya di rumah, berkejar pula untuk main layang-layang, main bola atau apa sahaja permainan yang berbentuk komuniti.
Waktu cuti pula gelap tanah, baru muncul muka di rumah. Ke pantai, menjala tangkap ikan atau melanggai tangkap udang atau cari siput dan kerang. Adakalanya bergelumang lumpur dengan kerbau di bendang.

Main, main, main, main, mainnnnnnnnnn……………………………
Pada ketika ini tak pelik sekiranya masuk tahun 1 baru belajar nak membaca, menulis, mengira.
Tetapi kenytaannya, mereka yang dibesarkan pada zaman inilah yang mana sekarang sedang dan telah menerajui Malaysia. Yang mana bergelar VIP, VVIP, VVVIP, VVVVVVIP atau sekalian banyak V untuk IP mereka.
Teringat saya pada satu ayat iklan yang mengiklankan akhbar Berita Harian.
“Dunia dah maju, zaman dah berubah!.”
Jadi, apa, kenapa dan mengapa?.
Adakah dengan perubahan zaman mengikut kemajuan teknologi; kita sebagai ibu bapa seenaknya boleh menafikan Fitrah kanak-kanak?.
Lebih mencabar jika kita sedang membesarkan anak-anak dalam situasi bandar. Fitrah bermain iaitu tujuan mencari hiburan yang sebelumnya bersifat alami bertukar kepada aplikasi teknologi. Dan pengaplikasian teknologi tersebut terdapat di Cyber Cafe serta pusat membeli belah. Ataupun dalam bentuk ‘Play Station’, ‘electronic games’ dan sebagainya yang boleh dimainkan di rumah.
Dalam pada masa yang sama ada juga kalangan ibu bapa yang menyempitkan ruang main anak-anak mereka. Seawal umur 3 atau 4 tahun sehinggalah 10 tahun, ruang bermain anak-anak ketika hari cuti disempitkan dengan kelas tuisyen, smart reader dan bermacam-macam kelas lagi. Semuanya dilakukan atas desakan bagi memastikan anak mereka ‘bijak’.
Komentar:
1. Bermain atau main adalah cara anak-anak kita berhibur. Hiburan bukan sahaja fitrah yang perlu dipenuhi pada kanak-kanak malah pada diri ibu bapa itu sendiri (iaitu orang dewasa).
2. Maka raikanlah fitrah anak-anak untuk bermain, kerana dengan cara ini mereka memuaskan kehendak hiburan mereka.
3. Namun pada pendapat saya fitrah bermain untuk kanak-kanak adalah lebih berbentuk bermain yang melibatkan kordinasi semua tubuh serta ransangan akal. Ada pun permainan elektronik hanyalah melibatkan pergerakan sedikit sahaja jari. Dan kurang melibatkan akal kerana akhirnya tindakan dalam permainan elektronik bersifat tindakan yang sterotaip.
4. Anak-anak pada zaman kanak-kanak perlu dipuaskan dengan bermain seperti makusd di atas. Kerana dengan cara ini akan meransang minda anak untuk lebih kreatif dan berinovatif. Dan apa yang lebih penting mereka punyai benteng nilai diri.
Contoh permainan yang saya ambil disini, ialah galah panjang. Kanak-kanak dapat belajar
a) Strategi menyerang dan bertahan, berhadapan dengan pelbagai cara lawan mengikut pemainnya.
b) Mengajar erti sabar apabila kalah atau ejekan dari kawan secara tidak lansung membina ketahanan minda.
c) Semangat berkumpulan serta tidak mementingkan diri sendiri.
5. Berbanding dengan permainan elektronik yang mana anak hanya ‘syok sendiri’. Hakikat sebenarnya segala pergerakan dan strategi telah diprogramkan oleh komputer.
6. Namun dalam pada itu bukanlah maksud saya bahawa anak perlu bermain secara total. Tetapi sebenarnya sebagai ibu bapa kita perlu beri ruang secukupnya pada mereka. Dan apa yang lebih penting ialah permainan yang tepat.
7. Kerana pada zaman kanak-kanak sahajalah mereka berpeluang untuk bermain. Maka sekiranya kita sebagai ibu bapa menyekat hak mereka ini. Bilakah masa dan waktu lagi mereka boleh bermain. Hasilnya anak-anak tertekan dan menonjolkan rasa ‘pemberotakan hati’ mereka apabila sudah mampu punyai ‘taring’ sendiri. Mungkin ketika remaja atau peralihan remaja menuju dewasa. Buktinya pengakuan ibu Sufiah Yusuf mengenai anaknya (sumber Berita Harian – maaf tidak dapat sediakan link) yang suatu ketika dulu menjadi kanak-kanak pertama memasuki Oxford University.

Wallahualam.
p/s: Saya perlukan komen dari pembaca.

ANAK-ANAK ADALAH PERHIASAN KEHIDUPAN DUNIA SEKALIGUS FITNAH


Ditulis oleh : Khairul Zamil

Anak-anak adalah kurniaan dari Allah SWT kepada manusia.  Kita pasti akan merasa teruja, gembira dan tenteram menyaksikan sebuah keluarga dalam keadaan bergurau senda sekali gus terdetik di hati ini mengimpikan situasi itu bakal terjadi pada diri kita.  Anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia sebagaimana ditegaskan oleh beberapa ayat-ayat suci al-Quran di bawah ini:

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang dingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak berpikul-pikul, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

[Ali-Imran, 3:14]

Harta benda dan anak-pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.

[Al-Khaf, 18:46]

Oleh kerana itu, kita akan dapati kebanyakkan masyarakat umum tertipu oleh perhiasan ini, sehingga akhirnya kita sendiri akan berbangga-bangga dengan anak-anak kita dengan anggapan barangkali kita sudah punyai pewaris dan bahawa Allah SWT meredhai kita kerana telah diberikan anak yang banyak kepada kita.  Dikhuatiri akhirnya , kita menganggap lebih tinggi dan lebih mulia daripada keluarga-keluarga yang sedikit atau belum mempunyai anak.

Kemudian turunlah ayat-ayat Allah SWT membantah anggapan bahawa pemikiran ini adalah suatu hasil kekeliruan pemikiran sebagaimana berlakunya pemikiran arab jahiliyah,  Allah menolak kebanggaan menurut jahiliyah mereka, serta menegaskan kepada orang-orang beriman bahawa banyaknya anak ini sama sekali tidak akan berguna bagi mereka dan juga tidak akan memberikan keuntungan sedikit pun di sisi Allah.  Terjemahan Firman Allah SWT:

Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak-pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

[Al-Hadid, 57:20]

Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta-harta mereka dan anak-anak mereka tidak sekali-kali dapat menyelamatkan mereka dari (azab) Allah sedikitpun, dan mereka itu ialah ahli neraka; mereka kekal di dalamnya.

[Ali Imran, 3:116]

Oleh itu, janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengan harta benda dan anak-anak itu dalam kehidupan dunia dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka berkeadaan kafir (untuk mendapat azab akhirat pula).

[At-Taubah, 9:55]

Teruskan membaca kiriman ini