ANAK NAKAL UJIAN ALLAH SWT


Sumber : Klik di sini

PUNCANYA kecil saja, tetapi amuk si kecil berlarutan apabila permintaannya tidak ditunaikan. Selepas puas menangis, meronta dan menjerit, si kecil mula membaling barang yang ada di sekelilingnya.

Pujukan si ibu tidak diendahkan. Geram ‘tunjuk perasaannya’ tidak dipedulikan oleh ibu, si kecil kemudian menggigit dan menarik rambut ibunya berulang kali. Hilang sabar dengan kerenah anak, akhirnya si ibu memukul si comel.

Situasi itu mungkin pernah dialami kebanyakan ibu atau bapa. Anak kecil membuat kerenah dan ‘tidak makan pujuk’, misalnya mahukan perhiasan kaca atau benda tajam sebagai permainan, mengamuk kerana perkara remeh seperti marah dengan usikan si abang, kemahuan untuk membeli mainan mahal tidak dipenuhi atau tidak mahu makanan yang terhidang tetapi minta makanan yang tiada.

Berdepan anak yang banyak kerenah kadangkala membuatkan ibu bapa kurang sabar.

Apapun, kerenah anak adalah ujian Allah. Ia menguji kesabaran dan keimanan manusia kepada Allah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 28 bermaksud: ”Dan ketahuilah bahawasanya harta kekayaan dan anak kamu adalah cubaan hidup dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang amat besar.”

Panel pendakwah dan pendidik, Wan Akashah Wan Abdul Hamid, berkata Allah sengaja menguji keimanan kita untuk melihat sama ada kita semakin bersyukur apabila dikurniakan zuriat atau semakin jauh daripada-Nya.

Segala ujian itu tidak terlepas daripada dua perkara, iaitu sebagai penghapus dosa atau peningkatan darjat.

“Apapun sebab kita diuji dengan kerenah anak, Allah bukan bertujuan menyeksa kehidupan kita, tetapi ini tanda kasih sayang-Nya. Sebelum ibu bapa memilih kaedah paling sesuai mendidik atau mengajar anak, mereka perlu pastikan tiga perkara iaitu mengenal pasti jenis kenakalannya, tahap nakal serta membezakan kesilapan dan kesalahan anak.

“Ibu bapa perlu faham jenis atau kategori kenakalan anak kerana pemahaman perkara ini penting supaya mereka dapat menangani masalah anak dengan betul dan berkesan.

“Selain itu, tahap kenakalan anak berbeza mengikut peringkat umur, jantina, kecerdasan akal fikiran, pengaruh rakan dan persekitaran, didikan, suasana keluarga dan taraf ekonomi sesebuah keluarga. Yang pasti, kenakalan anak yang usianya lebih besar adalah lebih serius berbanding anak kecil.

“Anak tidak sepatutnya dihukum kerana melakukan kesilapan, tetapi memadai dengan dinasihati supaya dia lebih berhati-hati pada masa akan datang.

“Contoh kesilapan ialah anak tidak sengaja memecahkan tingkap ketika bermain bola, manakala kesalahan pula adalah perbuatan yang tidak betul dan disengajakan. Ia terbahagi dua iaitu kesalahan besar dan kecil,” katanya.

Wan Akashah berkata, kesalahan besar ialah yang jelas melanggar syariat atau undang-undang dan boleh mendatangkan mudarat kepada dirinya dan orang lain. Contohnya anak sengaja bercakap bohong, tidak solat atau memukul rakan.

Kesalahan kecil pula biasanya tidak jelas melanggar syariat dan tidak membahayakan, tetapi mungkin melanggar peraturan manusia. Contohnya suka menconteng dinding atau tidak mahu buat kerja sekolah.

Sebagai manusia biasa, ada kalanya kerenah anak membuatkan ibu bapa hilang sabar. Selain asuhan baik, doa adalah kaedah penting yang mesti diamalkan ibu bapa dalam mendidik anak.

“Ada doa di dalam al-Quran untuk melembutkan hati anak supaya dengar cakap dan mudah mengerjakan solat. Antara doa yang perlu diamalkan ialah surah Toha ayat 1-5, surah al-Syura ayat 19 dan surah al-Hasyri ayat 21. Doa ini boleh diamalkan dengan meniup pada ubun rambut anak atau ditiup ke dalam air,” katanya.

Menurutnya, antara pendekatan lain yang boleh diambil dalam menangani kerenah anak ialah:

– Bersikap adil dalam semua perkara.

– Konsisten dalam tindakan menangani masalah.

– Jalin hubungan baik dengan anak.

– Jadikan diri sendiri sebagai contoh.

– Berlembut walaupun tegas.

– Tunjukkan kemesraan dan kasih sayang.

– Tunjukkan penghargaan pada anak.

– Jangan bezakan kasih sayang terhadapnya.

– Sesuaikan tindakan dengan watak.

– Kurangkan pengaruh negatif.

– Tunjukkan minat mendalam dalam menangani masalahnya.

– Beri peluang untuk anak meluahkan perasaannya.

– Adakan usrah keluarga.

– Jangan mengungkit kelemahannya.

– Dapatkan kerjasama keluarga.

Bagi masalah anak yang banyak menangis dan memberontak apabila kehendaknya tidak dipenuhi, ibu bapa perlu mengajar serta melatih anak menahan emosi. Ibu bapa perlu cipta suasana yang dapat menjauhkan anak daripada emosional seperti menangis.

Amaran atau gertakan seperti jika menangis lagi, permintaannya tidak dipenuhi boleh dikatakan kepada anak terbabit. Misalnya: “Jangan menangis lagi. Kalau menangis lagi, ibu tak mahu penuhi permintaan Haikal.”

Menurutnya, apabila berdepan kerenah anak nakal, antara kebiasaan ibu bapa ialah memukulnya sama ada menggunakan rotan, tangan atau tali pinggang sebagai hukuman.

“Tidak dinafikan cara itu sangat memberi kesan terhadap anak. Apapun, perlu diingat, memukul anak lebih banyak memberi kesan negatif jika salah caranya. Anak yang besar atau remaja tidak sesuai dihukum cara itu kerana menimbulkan emosi buruk, berdendam, trauma atau membentuk peribadi kasar,” kata Wan Akashah.

Menurutnya, terlalu kerap memukul juga membuatkan anak menjadi lali dan sakit dipukul tidak lagi memberi erti kepadanya. Anak hanya berkelakuan baik sementara di depan ibu bapa kerana tidak mahu dipukul tetapi apabila di luar pengawasan ibu bapa, mereka menjadi lebih liar.

Katanya, memukul anak nakal mesti kena caranya. Pada zaman dulu, rotan digunakan untuk mengajar anak iaitu selepas amaran tidak diendahkan, anak itu dirotan. Selepas dirotan, anak itu dinasihati supaya tak mengulangi kesilapan

Tangani Anak Nakal Menerusi Doa


Tangani Anak Nakal Menerusi Doa

Rujukan : Klik di sini

Anak adalah anugerah kepada setiap ibu bapa.Walau senakal mana pun mereka,pasti ada cara yang sesuai bagi mendidik dan menangani tahap kenakalan bagi setiap tahap umur.

Dalam islam sendiri menggariskan langkah-langkah yang sesuai untuk menangani golongan ini.Paling utama ialah doa yang memainkan peranan penting dalam pembentukan sebuah keluarga bahagia ke arah mewujudkan baiti jannati.
Sebagai ibubapa,kita perlu sentiasa mendoakan kesejahteraan anak dan tidak mengatakan perkara yang buruk-buruk kerana kata-kata seseorang ibu adalah doa.Perkataan seperti ‘bodoh’,’malas’,’bangang’,’tak reti diajar’ hanya akan membuatkan seorang kanak-kanak itu memberontak,seterusnya langsung mengingkari setiap arahan dari ibu bapa.

TIP

Antara langkah-langkah yang boleh dilakukan seperti berikut.Doa mestilah disusuli dengan tindakan yang hikmah dalam cara kita membentuk peribadi anak.

1.Selalu amalkan baca ‘Ya Latif’ sebanyak tujuh kali dan hembuskan di kepala anak sewaktu mereka sedang atau hendak tidur.

2.Banyak bersabar dan yang utama,jangan cepat melenting jika anak melakukan sesuatu yang di luar dugaan.Cuba berbicara dengan baik dan gunakan kaedah memujuk.

3.Banyakkan berdoa kepada Allah dan minta dilembutkan hati anak-anak.

4.Bila bangun pagi,peluk anak sebanyak tiga kali,usap kepalanya dan berselawat sambil berniat dalam hati(bergantung pada niat kita untuk di anak).

5.Baca Surah al-Fatihah,surah Taha ayat 1 sehingga 5,diikuti doa Nabi Daud sebanyak 3 kali.Doanya,”Ya Allah,lembutkanlah hati anakku(sebut namanya),seperti mana Engkau lembutkan Nabi Daud akan besi.(sebut namanya).”Kemudian hembuskan pada makanan dan minuman.Kalau anak masih menyusu,hembuskan pada susu.

6.Untuk membantu anak mudah belajar dan menelaah pelajaran,baca zikir Ya Latif sebanyak 129 kali diikuti ayat 19 daripada surah as-Syura bermaksud”Allah Maha Lembut kepada hamba-Nya;Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki,dan Dialah Yang Maha Kuat,Lagi Maha Kuasa”Sebaik-baiknya dibaca selepas Subuh,baca pada semua botol air untuk minuman dan masakan seisi keluarga.

7.Ketika memasak,sentiasa basahkan lidah dan bacakan doa ayat 200 dari Surah Ali Imran yang bermaksud:”Wahai orang yang beriman!Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu,dan bersedialah serta bertakwalah kepada Allah supaya kamu berjaya.”
Diikuti pula dengan memperbanyakkan zikir’Ya Hayyu,Ya Qayyum,Ya Latiff dan Ya Rahman’berulang-ulang.Semua ini Insya-Allah adalah da pelembut hati.Begitu juga,Surah Toha ayat 1hingga 8,surah ar-reahman ayat 1 hingga 4 dan surah al-Insyirah dibaca dalam kegiatan lain seperti ketika menemani anak menelaah buku dan membaca al-Quran.

8.Bagi ibu yang bercita-cita mendapat zuriat yang baik,amalkan ayat 38 daripada Surah Ali Imran iaitu doa Nabi Zakaria yang bermaksud,”Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhan-Nya,katanya:Wahai Tuhanku!Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik;sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar(menerima)doa permohonan.”

9.Kita juga digalakkan menyentuh lembut ubun-ubun anak dengan tangan kanan sambil berdoa dan menyatakan harapan.Sebaik-baiknya setiap malam ketika anak dalam keadaan baru hendak tidur,ketika ini otak mereka sedang berehat dan lebih cepat mendengar kata.

10.Selepas solat lima waktu,amalkan doa daripada ayat 74 daripada Surah al-Furqan yang bermaksud,”Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata:Wahai Tuhan kami,berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya,dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu)bertakwa.”
Amalkan juga ayat 40 daripada Surah Ibrahim yang bermaksud,”Wahai Tuhanku!Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang,dan zurait keturunanku.Wahai Tuhan kami,perkenankan doaku.”
Jadikanlah doa cara berkesan membentuk peribadi anak-anak.Doa itu senjata ornag mukmin.

Marhalah Pendidikan Anak-anak


Assalamualaikum kepada penjenguk setia AnakkuSoleh.

Lama rasanya saya tidak berkongsi di blog ini.

Malam ini saya cuba juga untuk berkongsi satu tajuk penting untuk  ibubapa semua iaitu marhalah (tahap) pendidikan anak-anak yang saya petik dari buku  “Kaedah Mendidik Isteri & Anak , Antara Galakan dan Larangan Memukul dalam Islam’ karangan Abdul Rahman Mohamed.

m.s : 89 – 100

MARHALAH PERTAMA : MASA PEMBEBASAN DAN PENDIDIKAN LISAN ( Bayi hingga umur 7 tahun)

Marhalah atau peringkat ini adalah peringkat yang mana seorang anak itu bebas daripada apa-apa tuntutan dan tanggungjawab.

MARHALAH KEDUA : MASA PENDIDIKAN PRAKTIKAL ( Umur 7 tahun hingga baligh)

Peringkat ini adalah peringkat anak-anak sudah mengjangkau tamyiz atau mumaiyiz, iaitu sudah dapat membezakan sesuatu yang baik dengan yang buruk.

MARHALAH KETIGA : MASA BERTANGGUNGJAWAB (Baligh sehingga menjangkau dewasa)

Peringkat ini adalah tatkala umur anak-anak sudah menjangkau lebih kurang sepuluh ke atas, rata-rata mereka sudah sampai kepada umur baligh, cukup umur atau umur matang. Inilah peringkat di mana anak-anak seharusnya bertanggungjawab ke atas tindakan mereka.

Kredit untuk buku “”Kaedah Mendidik Isteri & Anak , Antara Galakan dan Larangan Memukul dalam Islam’ karangan Abdul Rahman Mohamed.”