Dirimu Itu Sendiri Adalah Sistemnya

“Saranan ustaz itu, bukan semua orang boleh terima” kata seorang sahabat saya.

“Maksud anta, Metod Khalifah?” saya meminta kepastian.

“Sama ada ia dipanggil Metod Khalifah atau tidak, ramai kawan ana kata cara itu memanjakan budak-budak.  Walhal kita ini, jangan sampai dianggap kawan oleh murid-murid. Nanti mereka tidak hormat!” katanya lagi.

Saya hanya mampu tersenyum.

Sememangnya pendekatan mendidik itu banyak mazhabnya.

Kita tidak berkuasa untuk memaksa.

Namun apa yang saya belajar, saya belajar daripada Sunnah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan Sunnah Allah. Sunnatullah, iaitu aturan Allah tentang tingkah laku manusia. Kalau selesa, namakan ia sebagai Psikologi. Jika enggan, fahamkan sahaja ia sebagai Sunnatullah.

“Kalau pendekatan itu bagus, mengapa ramai yang tidak mahu menggunakannya?” tanya sahabat saya itu lagi.

“Sudahkah mereka mengambil tahu? Atau sekadar menganggap tahu dengan andaian dari jauh semata? Konklusi bahawa pendekatan ini memanjakan anak-anak tidak tepat. Saya sendiri ada ketikanya merotan. Tidak pula dimanja-manjakan sebarangan” saya sendiri tidak pasti.

“Entahlah!” ujar beliau.

MEMENATKAN

POSITIVE REINFORCEMENT yang diaplikasikan kepada anak-anak memang banyak cabarannya. Usaha memberi ganjaran atas kebaikan yang anak-anak berjaya lakukan, memang susah.  Masakan tidak, jika kita setuju dengan kaedah ini, ia bermakna kita perlu membuat banyak perubahan ke atas diri kita sendiri. Seperti yang pernah saya baca di http://www.kidsmakingchange.com:

  1. Kita perlu membeli buku berkaitan dengan POSITIVE REINFORCEMENT untuk kanak-kanak ini (RM, RM dan RM lagi)
  2. Mencari masa untuk membaca, mengkaji dan memahami isi kandungan buku tersebut (Masa, masa dan masa)
  3. Pergi ke kedai untuk mendapatkan peralatan yang diperlukan (RM, masa, RM, masa, RM dan masa lagi)
  4. Membuat carta rekod amalan untuk anak-anak (RM dan masa lagi)
  5. Menerangkan tentang peraturan, penjelasan, rasional dengan anak-anak (Masa lagi)
  6. Melaksanakannya dan berharap agar kita melakukan sesuatu yang betul untuk mereka (Masa, masa dan masa)
  7. Memantau perkembangan anak-anak (Masa, RM, masa, RM, masa, RM dan masa lagi)

Semuanya itu memerlukan wang dan masa. Di samping komitmen yang menuntut sabar.

Atau dalam erti kata yang lain, sistem  POSITIVE REINFORCEMENT itu sebenarnya adalah diri kita sendiri. Mengoptimumkan peranan diri dalam mendidik. Membabitkan diri secara aktif dalam proses membentuk anak-anak.

Tiada jalan pintas.

Kita mesti kuat untuk memenangi mereka.

Sebelum kita nantinya kalah dan ketika itu menunding jari mencari salah.

Malang sekali apabila keazaman untuk mendidik anak-anak itu hanya hangat-hangat tahi ayam. Apabila kita sendiri melanggar peraturan mengganjari anak atas perbuatan baik mereka, dan menetapkan bentuk teguran atau hukuman atas kesalahan yang dilakukan, sistem itu kehilangan nilai dan kita kembali ke kotak asal kita bermula.

Back to square one!

Anak buat baik, tidak diberi galakan apatah lagi ganjaran.

Anak buat salah, dimarah dan ditegur untuk diri sendiri beroleh kepuasan.

Akhirnya, anak kembali belajar pelajaran salah yang popular itu; bahawa jika berbuat baik tidak beroleh apa-apa, jika berbuat nakal barulah ibu bapa muncul dan memberikan ganjaran (biar pun ganjaran itu berbentung tengking, cubit dan kemarahan). Salah tempat memberi PERHATIAN.

“Tak bosankah kalau setiap perbuatan baik anak kita kena beri perakuan?” tanya sahabat saya itu.

“Bosan juga. Tapi apabila mengenangkan betapa ‘Allah tidak pernah bosan’ memberi pelbagai ganjaran kepada kita yang kurang memberi ini, insaflah semula!” saya mengusik.

“Hmm… macam-macamlah!” simpul beliau.

Kami sama-sama bangun dan sepi menuju ke kereta.

Benarlah kata Sayyid Qutb, “tarbiyyah itu adalah seni membentuk manusia.”

Permudahkanlah ya Allah.

ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: