Pembentukan Keluarga Islami Dan Pendidikan Anak

Jun 10, 2009 oleh Muhtar Suhaili

“Muhammad ‘Izzul Islam: Permata Kesayangan Ayah dan Ibu”

As-Sarawaki, 17 Jamadits Tsani 1430H: Alhamdulillah atas segala-galanya. Segala puji-pujian bagi Allah ‘Azza Wajalla, Tuhan sekalian alam Yang Maha Kaya lagi Maha Pemberi Hidayah. Selawat serta salam untuk kekasih Allah, Junjungan Besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Alhamdulillah, sebenarnya saya baru sahaja menghabiskan 13 hari bercuti dari kerja pejabat (11 hari Gawai Bridging Holidays dan ditambah 2 hari cuti In-Lieu) bermula dari 30 Mei – 9 Jun 2009. Alhamdulillah, pada 29 Mei – 1 Jun, Allah Subhanahu Wa Ta’ala memberi kekuatan menyumbang khidmat menjayakan Kem Remaja Islam Sarawak 2009 di Miri, 1-2 Jun bermusafir ke Kuching dan singgah bermahabbah di Sibu, 3-6 Jun di Kuala Lumpur dan 7-9 Jun meluangkan masa bermesra bersama keluarga mertua di Kuching.

Sesungguhnya rehat juga adalah penting dalam kerjaya supaya semua ketegangan (stress) akan hilang dan sekaligus membina kekuatan dalaman diri agar kembali segar (fresh), mencetus idea-idea bernas yang lebih hebat dan mampu untuk mencorak strategi unggul sebelum kembali berkhidmat di pejabat atau sebelum ‘turun padang’ bertemu masyarakat. Isteri saya sudah memaklumkan (baca: complaint) betapa jarangnya kami ada masa berhujung minggu bersama dek kerana terlibat dengan pelbagai program! Maka minggu yang sudah tibalah saatnya untuk mengambil ruang waktu merehatkan minda dan melupakan segala perkara yang berkaitan dengan ‘business’ dan profession buat seketika.. Lebih utama, meluangkan masa bermakna semaksimum mungkin bersama keluarga tercinta!

Kelahiran Muhammad ‘Izzul Islam pada 14 September 2008

Muhammad ‘Izzul Islam… 8 Jun 2009 – 6 hari lagi 9 bulan!

Alhamdulillah, tengah malam semalam selamat tiba di Miri setelah memandu seorang diri (isteri dan anak tersayang masih di Kuching menghabiskan cuti sekolah) merentas Sarawak dari Kuching ke Miri melalui bahagian Samarahan-Sri Aman-Betong-Sarikei-Sibu-Bintulu yang mengambil masa lebih 12 jam dan merentas lebih 830 kilometer perjalanan. Luasnya Bumi Kenyalang!

Sarawak Tanahairku.. Negeriku Tanah Tumpahnya Darahku!

Realiti Semasa – Perkongsian Rasa

Isteri saya seorang kaunselor sekolah. Saya meski seorang jurutera, alhamdulillah berpeluang bertemu masyarakat khususnya belia, remaja dan pelajar sekolah dalam program-program Yayasan AMAL Malaysia dan Task Force Kecemerlangan Miri, serta sekaligus berinteraksi secara terus dengan mereka dalam (belajar) memahami psikologi, sudut pandang, romantika dan trend muda-mudi masa kini. Seringkali kami diketemukan dengan anak-anak muda yang mengadu kebosanan dan kebencian, melampiaskan kekecewaan berbaur nada kemarahan, berkongsi kerunsingan dan pantas memohon nasihat menyelesaikan rencam masalah yang mendilemma di dalam diri dan mengoyak sanubari. Percayakah kalian sekiranya kami nyatakan bahawa kebanyakan masalah muda-mudi yang kami maklumi ini berpunca daripada ketempangan hubungan rumahtangga ibubapa dan cacamarbanya institusi keluarga? Ya, bahkan inilah realitinya! Rumahku Syurgaku menjadi impian semua, namun malangnya dek kerana suasana Rumahku Nerakaku menjadi realiti yang dihadapi sehari-hari, maka natijah akhirnya ia mengharu-birukan pembentukan keluarga Islami… Bahkan menghancurkan pembinaan generasi mendatang!

Keluarga Bahagia Impian Setiap Insan

Melalui entri kali ini, saya ingin berkongsi dan mungkin mendapatkan input dari tetamu ziarah yang beriman dan budiman sekalian mengenai topik membentuk Keluarga Islami yang dipenuhi sakinah, mawaddah wa rahmah. Sesuai dengan tajuk entri ini: “Pembentukan Keluarga Islami Dan Pendidikan Anak”, alangkah baiknya sekiranya input-input berkaitan dapat kita kongsikan bersama dalam memperkasa habluminannas (hubungan sesama manusia) dalam keluarga ke arah membina kehidupan yang diredhai Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sungguh, keluarga bahagia adalah impian setiap insan dan semua orang!

Ayat-ayat Cinta Dari Al-Qur’an dan As-Sunnah

Awwalan, pertamanya marilah kita melihat neraca Al-Qur’an dan As-Sunnah dalam menilai perkara ini. Sesungguhnya teori-teori manusia yang sehebat manapun dalam memperihalkan hal kerukunan rumahtangga pasti akan ada cacat-celanya. Akan tetapi suluhan Al-Qur’an dan asas kehidupan yang dicontohkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pasti lengkap sempurna lagi benar sahih.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman dengan penuh kasih sayang di dalam Al-Qur’anul Kariim:

“Dan orang-orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami dari isteri-isteri kami dan keturunan kami kesenangan hati, dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa.”” (Surah Al-Furqan, ayat 74).

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan sentiasa mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah At-Tahrim, ayat 6).

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberikan nasihat dan pelajaran kepada orang yang hendak berkeluarga dengan bersabda:

“Dapatkan wanita yang beragama, (jika tidak) nescaya engkau merugi!” (HR. Al-Bukhari dan Muslim).

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga mengangkat keutamaan anak soleh dengan sabdanya:

“Apabila manusia mati maka terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara: sedekah jariyah, ilmu bermanfaat, atau anak soleh yang mendo’akannya.” (HR. Muslim, dari Abu Hurairah).

Aku Sedang Belajar Membentuk Keluarga Islami

Ya, Aku Sedang Belajar Membentuk Keluarga Islami! Usia perkahwinan yang baru berusia 18 bulan dengan dikurniakan seorang cahaya mata menunjukkan masih kurangnya pengalaman dalam alam berumahtangga. Pelbagai teori telah dihadam termasuk melalui buku-buku seperti “Raudhah al-Muhibbin wa Nuzhah al-Musytaqin” (Panduan Bercinta dan Memendam Rindu) oleh Ibnu Qayyim Al-Jauziah, “Adab-adab Melamar, Malam Pengantin dan Hak-hak Suami Isteri” oleh Abdullah Nasih Ulwan, “Suami Mithali Isteri Sejati” oleh Dr Juanda Jaya, “Men Are From Mars, Women Are From Venus” by John Gray, “Raising Happy Kids” by Rozieta Shaari, sehinggalah “Asam Garam Gula & Kopi” dan “Teh Tarik Kurang Manis” oleh Abdul Jalil Ali, “Duhai Yang Tersayang” dan “Satu Rasa Dua Hati” oleh Pahrol Mohd Juoi, “Aku Terima Nikahnya” dan “Bercinta Sampai Ke Syurga” oleh Hasrizal Abdul Jamil, serta tidak dilupakan e-book yang dihadiahkan oleh Ustaz Izwan sebagai hadiah perkahwinan yang bertajuk “Pendidikan Anak Dalam Islam” karya Syaikh Yusuf Muhammad Al-Hassan. Meskipun teori-teori telah dihadami, namun yang pastinya praktikal pada teori itulah yang pada hakikatnya perlu kita laksanakan agar memberi impak dan kesan bermakna.

‘Eidul Fitri 1429H Bersama Keluarga.. Muhammad ‘Izzul Islam Berusia 17 Hari.

Bersama Keluarga Mertua di Kuching Waterfront, Berlatarbelakang Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Yang Baru

Pendidikan dan Peranan Keluarga Dalam Islam

Keluarga mempunyai peranan penting dalam pendidikan, baik dalam lingkungan masyarakat Islam mahupun non-Islam. Ini kerana keluarga merupakan tempat pertumbuhan anak yang pertama di mana dia mendapat pengaruh dari anggota-anggotanya pada masa yang amat penting dan paling kritis dalam pendidikan anak iaitu tahun-tahun pertama dalam kehidupanya. Bahkan pada masa tersebut apa yang ditanamkan dalam diri anak akan sangat membekas, sehingga tidak mudah hilang atau berubah kemudiannya.

Para ulama’ umat Islam telah menyedari akan pentingya pendidikan melalui keluarga. Syeikh Abu Hamid Al-Ghazali ketika membahaskan tentang peranan kedua ibubapa dalam pendidikan mengatakan:

“Ketahuilah bahawa anak kecil merupakan amanah bagi kedua ibubapanya. Hatinya yang masih suci merupakan permata alami yang bersih dari pahatan dan bentukan. Dia siap diberi pahatan apapun dan condong kepada apa saja yang ditunjukkan kepadanya. Jika dibiasakan dan diajarkan kebaikan, maka dia akan tumbuh dalam kebaikan dan berbahagialah kedua ibubapanya di dunia dan Akhirat, juga setiap pendidik dan gurunya. Akan tetapi jika dibiasakan keburukan dan dibiarkan sebagaimana binatang ternak, nescaya akan menjadi jahat dan binasa. Dosanya pun ditanggung oleh guru dan walinya. Maka hendaklah ibubapa memelihara, mendidik dan membina serta mengajarinya akhlak yang baik, menjaganya dari teman-teman jahat, tidak membiasakannya bersenang-senang dan tidak pula menjadikannya suka kemewahan, sehingga akan menghabiskan umurnya untuk mencari hal tersebut bila dewasa.”

Memperhatikan Anak Pada Usia Enam Tahun Pertama

Sebagai perkongsian melalui entri ini, suka untuk saya kongsikan tentang kepentingan pendidikan anak-anak pada fasa pertama kehidupannya iaitu usia 6 tahun pertama yang dipetik dari e-book bertajuk “Pendidikan Anak Dalam Islam” karya Syaikh Yusuf Muhammad Al-Hassan. Ini relevan dengan usia anak saya Muhammad ‘Izzul Islam kini dan mudah-mudahan perkongsian ini bermanfaat buat saya, isteri dan tetamu ziarah yang budiman sekalian.

“Fasa pertama dalam kehidupan anak (usia enam tahun pertama) merupakan fasa yang amat kritis dan paling penting. Fasa ini mempunyai pengaruh yang sangat mendalam dalam pembentukan peribadinya. Apapun yang terrakam dalam benak anak pada fasa ini, nanti akan tampak pengaruh-pengaruhnya dengan nyata pada keperibadiannya ketika menjadi dewasa. (Aisyah Abdurrahman Al-Jalal, Al-Muatstsirat as-Salbiyah).

Oleh kerana itu, para pendidik perlu memberikan banyak perhatian pada pendidikan anak dalam fasa ini. Aspek-aspek yang wajib diperhatikan oleh kedua orangtua dapat diringkaskan seperti berikut:

1. Memberikan kasih sayang yang diperlukan anak dari pihak kedua orangtua, terutama ibu.

Ini amatlah perlu agar anak belajar mencintai orang lain. Jika anak tidak merasakan cinta kasih ini, maka akan tumbuh mencintai dirinya sendiri saja dan membenci orang di sekitarnya.

“Seorang ibu yang Muslimah harus menyedari bahawa tidak ada suatu apapun yang mesti menghalanginya untuk memberikan kepada anak keperluan asasinya berupa kasih sayang dan perlindungan. Dia akan merosak seluruh eksistensi anak jika tidak memberikan haknya dalam perasaan-perasaan ini, yang dikurniakan Allah dengan rahmat dan hikmahNya dalam diri ibu, yang memancar dengan sendirinya untuk memenuhi keperluan anak.” (Muhammad Quthub, Manhajut Tarbiyah Al-Islamiyah, juz 2).

Maka para ibu hendaklah sentiasa memperhatikan hal ini dan tidak hanya sibuk dengan kegiatan kariernya di luar rumah, perselisihan dengan suami atau kesibukan lainnya.

2. Membiasakan anak berdisiplin mulai dari bulan-bulan pertama dari awal kehidupannya.

Ini bukan sesuatu yang tidak mungkin. Telah terbukti bahawa membiasakan anak untuk menyusu dan buang hajat pada waktu-waktu tertentu dan tetap sesuatu yang mungkin meskipun melalui usaha yang berulang kali sehingga sistem tubuh akan terbiasa dan terlatih dengan hal ini.

Kebiasaaan berdisiplin akan tumbuh dan bertambah sesuai dengan pertumbuhan anak, sehingga akhirnya dia mampu untuk mengawal tuntutan dan keperluannya pada masa mendatang.

3. Hendaklah kedua orangtua menjadi teladan yang baik bagi anak dari permulaan kehidupannya.

Caranya ialah dengan menetapi manhaj Islam dalam perilaku mereka secara umum dan dalam pergaulannya dengan anak secara khusus. Jangan mengira kerana anak masih kecil dan tidak mengerti apa yang terjadi di sekitarnya sehingga kedua orangtua melakukan tindakan-tindakan yang salah di hadapannya. Ini mempunyai pengaruh yang besar sekali kepada peribadi anak.

“Ini berpunca daripada kemampuan anak untuk menangkap, dengan sedar atau tidak, adalah besar sekali. Terkadang melebihi apa yang kita duga! Sementara kita melihatnya sebagai makhluk kecil yang tidak tahu dan tidak mengerti. Memang, sekalipun ia tidak mengetahui apa yang dilihatnya, itu semua berpengaruh baginya. Sebab, di sana ada dua alat yang sangat peka sekali dalam diri anak iaitu alat penangkap dan alat peniru, meski kesedarannya mungkin terlambat sedikit atau banyak. Akan tetapi hal ini tidak dapat merubah sesuatu sedikitpun. Anak akan menangkap secara tidak sedar, atau tanpa kesedaran sempurna, dan akan meniru secara tidak sedar, atau tanpa kesedaran sempurna, segala yang dilihat atau didengar di sekelilingnya.” (Muhammad Quthub, Manhajut Tarbiyah Al-Islamiyah, juz 2).

4. Anak dibiasakan dengan etika umum yang mesti dilakukan dalam pergaulannya.

Antara lain: (Sila rujuk karangan Ahmad Izuddin Al-Bayanuni, Minhaj At-Tarbiyah Ash-Shalihah).

· Dibiasakan mengambil, memberi, makan dan minum dengan tangan kanan.  Jika makan dengan tangan kiri, diperingatkan dan dipindahkan makanannya ke tangan kanannya secara halus.

· Dibiasakan mendahulukan bahagian kanan dalam erpakaian. Ketika mengenakan kain, baju, atau lainnya hendaklah dimulai dari kanan; dan ketika melepas pakaiannya memulai dari kiri.

· Dilarang tidur tertelungkup dan dibiasakan tidur dengan miring ke kanan.

· Dihindarkan tidak memakai pakaian atau seluar yang pendek, agar anak tumbuh dengan kesedaran menutup aurat dan malu membukanya.

· Dicegah menghisap jari dan menggigit kukunya.

· Dibiasakan sederhana dalam makan dan minum, dan dijauhkan dari sikap rakus.

· Dilarang bermain dengan hidungnya.

· Dibiasakan membaca Bismillah ketika hendak makan.

· Dibiasakan untuk mengambil makanan yang terdekat dan tidak memulai makan sebelum orang lain.

· Tidak memandang dengan tajam kepada makanan mahupun kepada orang yang makan.

· Dibiasakan tidak makan dengan tergesa-gesa dan supaya mengunyah makanan dengan baik.

· Dibiasakan memakan makanan yang ada dan tidak mengingini yang tidak ada.

· Dibiasakan kebersihan mulut dengan menggunakan siwak atau sikat gigi setelah makan, sebelum tidur, dan ketika bangun tidur.

· Dididik untuk mendahulukan orang lain dalam makanan atau permainan yang disenangi, dengan dibiasakan agar menghormati saudara-saudaranya, sanak familinya yang masih kecil, dan anak-anak tetangga jika mereka melihatnya sedang menikmati sesuatu makanan atau permainan.

· Dibiasakan mengucapkan dua kalimat syahadat dan mengulanginya berkali-kali setiap hari.

· Dibiasakan membaca “Alhamdulillah” jika bersin, dan mengatakan “Yarhamukallah” kepada orang yang bersin jika membaca “Alhamdulillah”.

· Supaya menahan mulut dan menutupnya jika menguap, dan jangan sampai bersuara.

· Dibiasakan berterima kasih jika mendapat suatu kebaikan, sekalipun hanya sedikit.

· Tidak memanggil ibu dan bapa dengan namanya, tetapi dibiasakan memanggil dengan kata-kata: Ummi (Ibu), dan Abi (Bapa) dan seumpamanya.

· Ketika berjalan jangan mendahului kedua orangtua atau siapa yang lebih tua darinya, dan tidak memasuki tempat lebih dahulu dari keduanya untuk
menghormati mereka.

· Dibiasakan berjalan kaki pada laluan pejalan kaki, bukan di tengah jalan.

· Tidak membuang sampah di jalanan, bahkan menjauhkan kotoran darinya.

· Mengucapkan salam dengan sopan kepada orang yang dijumpainya dengan mengatakan “Assalamu ‘Alaikum” serta membalas salam orang yang mengucapkannya.

· Diajari kata-kata yang benar dan dibiasakan dengan bahasa yang baik.

· Dibiasakan menuruti perintah orangtua atau siapa saja yang lebih besar darinya, jika disuruh sesuatu yang diperbolehkan.

· Bila membantah diperingatkan supaya kembali kepada kebenaran dengan sukarela, jika memungkinkan. Akan tetapi kalau tidak, dipaksa untuk menerima kebenaran. Ini kerana hal ini lebih baik daripada tetap membantah dan melawan.

· Hendaknya kedua orangtua mengucapkan terima kasih kepada anak jika menuruti perintah dan menjauhi larangan. Boleh juga sekali-kali memberikan
hadiah yang disenangi berupa makanan, mainan atau diajak berjalan-jalan/ bersiar-siar.

· Tidak dilarang bermain selama masih selamat, seperti bermain dengan pasir dan permainan yang diperbolehkan, sekalipun menyebabkan bajunya kotor.  Ini kerana permainan pada period ini penting sekali untuk pembentukan jasmani dan akal anak.

· Ditanamkan kepada anak agar senang pada alat permainan yang dibolehkan seperti bola, alat permainan telefon, kapal terbang mini , dan lain-lainnya. Selain itu, turut ditanamkan kepadanya agar membenci alat permainan yang mempunyai bentuk terlarang seperti manusia dan haiwan.

· Dibiasakan menghormati hak milik orang lain, dengan tidak mengambil permainan ataupun makanan orang lain, sekalipun permainan atau makanan saudaranya sendiri.

Kepentingan Memohon Dan Berdo’a Kepada Allah

Firman Allah Ta’ala:

“Dan Tuhanmu berfirman: “Berdo’alah kepadaKu, nescaya akan Kuperkenankan bagimu…” (Surah Al-Mu’min, ayat 60).

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdo’a apabila ia memohon kepada-Ku…” (Surah Al-Baqarah, ayat 186).

Diriwayatkan dari An-Nu’man bin Basyir Radhiyallahu ‘Anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Do’a adalah ibadah.”

Do’a mempunyai peranan yang amat penting dalam pendidikan anak, bahkan dalam seluruh urusan kehidupan, dan hanya Allah ‘Azza Wajalla yang memberikan taufiq dan hidayah. Seorang Muslim mungkin telah berusaha secara maksima dalam upaya mendidik anaknya agar menjadi insan soleh/ah tetapi tidak berhasil. Sebaliknya, ada anak yang menjadi anak soleh sekalipun terdidik di tengah lingkungan yang menyimpang dan jahat; bahkan mungkin dibesarkan tanpa mendapat perhatian pendidikan dari kedua orangtua!

Atas segalanya, petunjuk itu semata-mata dari Allah. Dialah yang berfirman:

“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya…” (Surah Al-Qashash, ayat 56).

Maka kita semua tidak boleh melupakan aspek ini dan wajib memohon dan berdo’a kepada Allah semoga berkenan menjadikan kita dan anak keturunan kita orang-orang yang soleh. Sungguh, hanya Dialah yang memberi petunjuk kepada jalan yang lurus!

Penutup Bicara

Benarlah bahawa anak-anak adalah amanah Allah kepada ibubapa. Anak-anak adalah cahaya mata, aset agama, bangsa, dan negara. Dari Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci yakni Muslim). Kedua-dua orang tuanyalah yang menjadikan dia Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (HR. Al-Bukhari).

Anak-anak adalah cahaya mata
Penghibur hati penyejuk jiwa
Nikmat Allah yang paling bahagia
Nisbah benda lahiriah di dunia
Amanah Allah yang mesti dijaga!

Wallahu a’lam bissawab.

http://www.muhtarsuhaili.com/

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: