PENDIDIKAN ISLAM

IKLAN

TIPS BUAT DUIT DENGAN BLOG DI HTTP://USAHAWANKREATIF.BLOGSPOT.COM

TIPS MENJADI USAHAWAN DI HTTP://USAHAWANISLAM.BLOGSPOT.COM

PENDIDIKAN ISLAM MENURUT AL-NADAWI:

SATU ANALISIS

OLEH:

MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY

Al-marhum Maulana Syed Abul-Hasan ‘Ali al-Nadawi, atau ‘Ali Mian, sebagaimana ianya terkenal dengan gelaran mesra penuh kemuliaan ini di benua-kecil Indo-Pakistan merupakan seorang pemikir, ulama, pengarang, dan pemuka Islam yang sangat besar jasanya kepada umat ini dalam bidang usaha menghidupkan kembali roh Keislaman dan keyakinan kepada kedudukannya sebagai ‘umat terbaik yang dilahirkan untuk (faedah) umat manusia serta usaha akliah, rohaniah, moral dan budaya ke arah menghidupkan kembali peradaban Islam itu di dunia ini. Tidak syak lagi beliau mempunyai kedudukan antara orang besar umat ini dalam abad ini. Pemergian beliau ke rahmatu’Llahi baru-baru ini meninggalkan kita merupakan satu kehilangan tanpa tara yang sukar dicari gantinya. Moga-moga Allah mencucurkan rahmatnya yang maha luas ke atas rohnya. Allahumma amin.

Antara sekian banyak tulisannya penulis kertas ini masih terasa lagi kesan mendalam pengaruh bukunya “Islam and The World” yang menjadi telaahnya dalam tahun-tahun enam puluhan sebagai seorang penuntut. Maka pada kesempatan ini, dalam rangka mencatatkan terhutang budinya beliau kepada Maulana ini, penulis ini dengan penuh kerelaan menerima jemputan pihak penganjur Seminar untuk berbicara sedikit sebanyak tentang konsep pendidikan yang dikemukakan oleh beliau ini dalam melihat kepentingannya dalam membantu kita menghadapi tugas khaira ummatin dalam abad mencabar ini, walaupun beliau merasa dirinya bukan ‘arif dalam bidang yang dibicarakan ini.

Sekilas pandang tentang riwayat hidupnya (1):

Beliau putera ‘Abdul-Hayyi al-Hasani, dilahirkan pada bulan Muharram 1332 H. di Ray Barelly di India Utara, dalam kalangan keluarga yang sangat teguh beriman kepada tauhid, menjaga Sunnah Nabi s.a.w. dan menegakkannya dalam hidup serta menentang bid’ah yang muncul dalam masyarakat.

Semenjak kecil lagi beliau mempelajari agama Islam dengan baik dan mendalam; kemudian beliau menuntut di Nadwatul ‘Ulama di Lucknow dan juga menuntut dengan beberapa orang ulama besar yang terkemuka di Deoband dan Lahore.

Buku beliau yang pertama dalam Bahasa Arab tentang riwayat hidup Imam Ahmad Shahid dan ini diterbitkan oleh Syed Rashid Ridha pada tahun 1931, ketika beliau berumur 16 tahun.

Kemudian beliau dilantik sebagai pensyarah ilmu tafsir dan sastera Arab di Ma’had Daril-‘Ulum Nadwati’l-‘Ulama’ Lucknow buat beberapa tahun lamanya; beliau juga diangkat menjadi ketua redaksi majalah Ilmiah “an-Nadwah”.

Pada tahun 1361 H. beliau memberi ceramahnya berkenaan dengan dengan tajuk “Agama dan Kemajuan” di Jami’ah Milliyah Islamiah – iaitu Universiti Islam Miliyyah di India; kemudian beliau banyak mengarang buku-buku dalam Bahasa Arab terutamanya untuk para pelajar madrasah Islamiah, antaranya seperti kitabnya yang berjudul “Mukhtarat min Adabil-‘Arab” yang banyak dipakai sebagai buku pegangan untuk universiti-universiti Islam di India dan juga di negeri-negeri Arab. Antaranya juga beliau mengarang kitab tentang Riwayat Hidup para Nabi dan Qira’atul-Rasyidah yang kedua-duanya merupakan bacaan yang sangat baik untuk anak-anak yang ingn belajar bahasa Arab.

Di Kota Lucknow beliau mendirikan institusi iaitu Islamic Research and Publications (Penyelidikan Islam dan Penerbitan) pada tahun 1378 H.

Kegiatan beliau yang paling menonjol selain daripada penulisan ialah gerakan dakwah Islamiah di India. Demi untuk menjayakan dakwah itu beliau sering keluar negeri untuk menyampaikan kuliah-kuliahnya di negeri-negeri Arab, Eropah dan Amerika Syarikat.

Dalam tahun 1364 H. beliau menulis kitabnya yang sangat terkenal di tengah-tengah dunia Islam yang berjudul “Madha Khasiral-‘Alam bi’n-hitat’l-Muslimin” (Apa Kerugian Alam Dengan Menurunnya Umat Islam). Kitab tersebut diterbitkan di Mesir tahun 1369/1950, dan ianya dicetak-ulang beberapa kali. Terjemahan Melayunya berjudul “Apa Derita Dunia Bila Islam Mundur” oleh H. Zubeir Ahmad, terbitan Media-Da’wah – Thinkers Library, cetakan pertama Indonesia tahun 1983, di Malaysia tahun 1986. Satu lagi terjemahan Indonesianya ialah yang berjudul “Kerugian Apa yang Diderita Dunia Akibat Kemorosotan Muslimin” terjemahan Abu Laila dan Muhammad Tohir, terbitan al-Ma’arif, Bandung, dengan pendahuluan oleh alm Syed Qutb dan Dr Muhammad Yusuf Musa.

Pada tahun 1380 H. beliau diangkat menjadi wakil Ma’had Daril-‘Ulum Nadwatul-‘Ulama; kemudian diangkat lagi sebagai rektor Ma’ahad itu sampai ke akhir hayatnya.

Tahun 1957 M beliau diangkat menjadi anggota Lembaga ilmu Pengetahuan Arab di Kota Damsyik; selain itu beliau diangkat menjadi anggota Majlis Ta’sisi Rabitah al-‘Alam al-Islami di Makkah semenjak tahun 1380 H./1980 M.; juga beliau dilantik sebagai anggota majlis A’la di Universiti Islam Madinah.

Semenjak tahun 1959 beliau diangkat sebagai ketua Lembaga Pendidikan Agama di seluruh willayah Utara India.

Sampai sekarang hasil penulisannya sampai lebih enam puluh buah buku dalam Bahasa Arab dan Urdu. Naskhah Inggerisnya antaranya biasa diterjemahkan oleh Mohiuddin Ahmad dan Muhammad Asaf Qidwa’i.

Kepentingan Pendidikan:

Maulana Syed Abul-Hasan ‘Ali al-Nadawi rh menyebut tentang kepentingan pendidikan ini dalam beberapa buah bukunya.Antaranya beliau menyebut tentang perkara itu dalam bukunya Islam and the World(2):

“Susunan pendidikan Alam Islam mesti bentuk semula habis-habis habisan dalam suluhan cahaya cita-cita Islam dan ajaran-ajarannya. Mempelajari dari negeri-negeri Barat apa yang maju terkedepan dalam sains dan teknologi adalah satu perkara, tetapi bila sahaja Muslimin melupai bahawa akar-umbi kekuatan mereka berada dalam Islam, dan mereka menjadi pengikut-pengikut khemah orang lain dari segi intelektuilnya, tenaga-tenaga kreatif mereka menjadi terhalang. Dalam zaman lampau kepimpinan intelektuil Muslimin diterima di seluruh dunia. Budaya dan ilmu pengetahuan mereka berkembang dalam setiap bidang kehidupan manusia di seluruh dunia. Buat masa yang lama dunia terus menerus berfikir dalam cara Islam dan mendapat inspirasi daripada kehidupan cara Islam. Bahasa Arab menjadi bahasa ilmu pengetahuan di dunia Barat dan setiap pengarang terkenal mengunakan bahasa ini untuk melafazkan apa yang hendak dinyatakannya

Beliau meneruskan kenyataannya tentang bagaimana Barat mendatangkan banyak akibat-akibat yang merugikan Islam dan umatnya dalam sejarahnya. Kata beliau:

“Kemudian masa berubah, dan berlakulah kemenangan Barat mengatasi (Muslimin). Ia membawa bersama-sama dengannya sikap baharu dalam hubungan dengan pengetahuan, yang merupakan hasil pengalaman-pengalaman dan keadaan-keadaan budaya Barat sendiri. Dunia mula mengikut dengan membuta tuli struktur yang baharu itu. Dunia Islam juga, oleh kerana kemalasan mental (mental sluggishness) terpedaya dengan ilusi bahawa keselamatan dan kesejahteraan mereka hanya terletak pada sikap tunduk sebagai abdi kepada barat dan sistem pendidikannya.

Dengan itu maka asaspun disediakan bukan sahaja untuk pendewaan intellektuil tetapi juga peniruan (imitation) peradaban Barat oleh golongan intelektuil Muslimin. Maka sikap skeptik dalam agama, takbur, rasa tidak puas hati (dengan agama) dan semua ciri-ciri lain cara hidup Barat mula secara beransur-ansur dan tetap menggantikan cita-cita mulia dan tinggi budaya di kalangan generasi Muslimin yang baharu muncul. Peradaban kerohanian Islam mula secara sistematisnya digantikan dengan peradaban kebendaan Eropah.”

Beliau menyatakan bahawa syarat untuk mendapatkan kembali kepimpinan dunia ini adalah melalui pencapaian kedudukan teratas dari segi intelektuil melebihi Barat. Kata beliau:

“Adalah paling penting sekali demi untuk mencapai kembali kedudukan kepimpinan dunia bagi Islam bahawa Muslimin mestilah menimbulkan kembali ketinggian intelektuil mereka ke atas Barat. Untuk tujuan ini kebudayaan Islam mesti menegaskan dirinya kembali. Usaha-usaha perjuangan yang gigih mesti dilakukan dalam semua bidang ilmu pengetahuan. Sudah tentu, ini bukannya kerja beberapa orang perseorangan ataupun beberapa pertubuhan. Lujnah-lujnah dan institusi-institusi yang bertenaga tinggi dengan segeranya hendaklah dibangunkan dengan tujuan untuk menyusun struktur pendidikan yang secara seluruhnya mengikuti roh ajaran al-Qur’an dan Sunnah tanpa mencuaikan syarat-syarat pengajian moden dan penyelidikan saintifik. Ahli-ahli pendidikan dan sains Islam hendaklah menggunakan kekuatan mereka sendiri dalam bidang pemikiran spekulatif (speculative reasoning ) dalam hubungan dengan pembentangan sains empiris supaya mereka boleh menyelamatkan generasi-generasi mendatang Muslimin daripada menimbulkan perasaan benci terhadap zaman yang telah lalu sejarah mereka dan merasa putus harap dalam hubungan dengan masa depan mereka”.(3)

Dalam bukunya The Glory of Iqbal (4) beliau menyebut beberapa kritikan almarhum Muhammad Iqbal rh dengan penuh persetujuan terhadap pendidikan moden.

Antaranya ialah bagaimana pendidikan moden

1. telah mengabaikan pembangunan mental dan rohaniah generasi muda yang mengakibatkan timbulnya krisis moral di kalangan mereka;

2. dengan itu maka fikiran pemuda dan pemudi sekarang cerdas dan gemilang tetapi jiwa dan rohaninya gelap; kemerosotan rohaniah berlaku bergandingan dengan perkembangan mental yang cerdas;

3. bagaimana akibatnya juga timbul di kalangan mereka sifat tidak mengenali jati-diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan destini atau masa hadapan dan nasib mereka sebenarnya;

4. bagaimana mereka itu lebih dipengaruhi oleh ideologi-ideologi asing lebih daripada dipengaruhi oleh agama mereka sendiri;

5. bagaimana sifat kebendaan yang berlebihan di kalangan mereka dan juga sifat berlebihan dalam bergantung kepada pekerjaan sebagai matlamat pendidikan menyebabkan keruntuhan moral dan kerohanian mereka;

6. bagaimana timbulnya sikap mengambil peluang dan faedah kebendaan yang sementara dalam sesuatu kegiatan (undue expediency) bersekali dengan budaya “artificial” dan hidup meniru-niru yang tidak wajar.

7. Dengan itu pendidikan Barat moden menjadi alat penjajahan Barat ke atas Timur (kalau sekarang ini diperteguhkan lagi dengan seruan “Globalization” atau Globalisasi yang menjayakannya melalui ekonomi pasaran terbuka dan keadaan “dunia tanpa sempadan” dan “perkampungan global”);

8. bagaimana pendidikan Barat moden yang terbentuk dalam atheisme , atau sekurang-kurangnya dalam keadaan keresahan mental dan kekalutan intelektuil (“intellectual anarchy”) mengakibatkan timbulnya skeptisisme, dan unsur-unsur rasionalisme dan pemikiran bebas di kalangan mereka yang terdidik di dalamnya;

9. bagaimana kejayaan saintifik dan faedah-faedahnya membolehkan manusia menguasai angkasa lepas dan terbang di angkasa tetapi menyebabkan ianya terangkat daripada tempat berpijaknya dan memisahkannya daripada akar umbi rohaniahnya;

10. bagaimana pendidikan itu berkecenderungan untuk membataskan nilai dan martabat manusiawi dalam hubungan dengan mesin, industri, dan lain-lain manifestasi kemajuan kebendaan walaupun ianya adalah “mutiara yang dikehendaki dari samudera seluruh penciptaan” dan “hasil penuaian dari ladang gandum kehidupan”;

11. bagaimana akibatnya pengertian ilmu dan kefahaman manusiawi menjadi cacat dan tercela tanpa rahmat Ilahi dan wahyuNya;

12. bagaimana dalam suasana pendidikan demikian setiap lintasan pemikiran yang tidak menasabahpun diangkat martabat menjadi “falsafah” yang dihormati;

13. bagaimana sifat tergesa-gesa keinginan cepat dalam segala perkara dalam zaman teknologi ini menyebabkan kestabilan segala perkara menjadi musnah dan falsafah menjadi himpunan pemikiran yang tidak koheren yang tidak menentu (“haphazard collection of incoherent ideas”);

14. bagaimana pendidikan demikian menggalakkan timbulnya sikap meniru-niru buta tamaddun Barat yang menghilangkan semangat dan roh keaslian dan tindakan yang bebas merdeka; dengan itu generasi muda tidak ada kewujudan dan jatidiri asli sebenarnya kerana ia menjadi bayangan bagi wujud Barat dengan kehidupan “artificial” yang diamalkannya; dengan itu

15. jiwa mereka dilitupi dukacita dan rasa bosan, bukan lagi penuh dengan harap dan cita-cita tinggi dan murni.

Ini antaranya terbayang dalam dalam bait-bait sinandung Iqbal yang dikutip oleh beliau antaranya:

Aku bangkit pergi dari Madrasah dan Khanqah di mana

Tidak ada di situ kehidupan dijayakan dan tidak pula cita ilmu dan pandangan akal tajam

Para ilmiawan madrasah itu jahil dan tidak bermaya lagi

Para darwish di Khanqah itu dangkal dan tidak bercita-cita tinggi lagi

Berhala-berhala zaman moden terpahat dalam sekolah-sekolah itu

Tidak ada padanya sentuhan tangan Azar juga tidak ada padanya tarikan lagi

Sungutanku terhadap para pemimpin sekolah itu ialah ini:

Kepada anak-anak helang sewah itu mereka mengajarkan ilmu hidup terikat ke bumi

Manusia-manusia di pusat pengajian itu telah menjerut lehermu,

Dari mana lagi boleh datang seruan “la ilaha illa’Llah”?

Adakah Madrasah itu memiliki keindahan pemikiran?

Adakah terdapat di Khanqah itu keseronokan dengan rahsianya?

Adakah ini sahaja yang berupa seluruh harta kekayaan dunia moden ini –

Pemkiran bercahaya, hati nan gundah gulana, dan pandangan mata yang jahat?

Ah! Remaja berdarah panas di sekolah itu

Mangsa lemah tidak bermaya dari sihir tamadun Barat

Para remaja itu haus, piala mereka kosong tak berisi

Pandangan lahir mereka berkilat, jiwanya gelap, fikirannya bercahaya

Tanpa pandangan rohani yang tajam, tanpa keyakinan, tanpa harapan

Tidak ada apapun di dunia yang dipandang oleh matanya

Orang-orang hampas itu, yang tidak setia kepada diri mereka sendiri, yang mengabdi kepada orang lain,

Tukang-tukang bina rumah berhala itu, membina dari tanah diri mereka sendiri, membikin batu batanya.

Bagaimanapun Iqbal tidak putus harap, dan ini dicatitkan dengan penuh persetujuan oleh Syed Abul-hasan ‘Ali Nadawi. Dinulkilkan beliau bahawa Iqbal bersenandung:

Aku cintakan para pemuda yang

Melemparkan jerat mereka ‘ntuk menangkap bintang-bintang

Kurniakanlah (O Tuhan) kepada para pemuda itu keluhanku sebelum Subuh

Kepada anak-anak helang sewah itu sekali lagi kurniakanlah bulu dan sayapnya!

Wahai Tuhan! Hamba ada satu saja hasrat—

Kurniakanlah kepada semua ni’mat pandangan tajamku!

Pandangan Iqbal tentang pendidikan Barat dijadikan satu bab khusus dalam buku beliau Ke Arah Pendidikan Islam Yang Tulin (5).

Dalam buku ini beliau menyenaraikan beberapa pandangan Iqbal dalam hubungan dengannya, antaranya ialah, sebagaimana yang disebutkan di atas dengan diberikan huraian yang agak mendetail tentang kecacatan-kecacatan pendidikan moden. Pengamatan-pengamatan itu masih benar dalam konteks sekarang.

Keperluan Kini:

Dalam buku Ke Arah Pendidikan Islam yang Tulin (6) beliau menyebut tentang keperluan kini kepada bentuk pendidikan yang benar-benar mengikut acuan Quran dan Sunnah yang mampu mempersiapkan generasi baharu untuk menjalankan tugas mereka dalam umat ini. Dalam hubungan dengan ini beliau menyebut kenyataan seorang pakar pengajian Islam di Amerika (Charles L. Gedder) dalam ceramahnya di Karachi pada tahun 1966:

Bahawa Islam memiliki semua keutamaan-keutamaan yang memberikan kemampuan (kepadanya – p) untuk menyebarkan keamanan dan penyesuaian di seluruh dunia. Barat mengharapkan ummat islam yang membawa agama yang diturunkan oleh Allah ini, agama ini (yang) mempunyai masa lampaunya yang agung dan gemilang yang diharapkan akan membawakan asas-asas hidup dan falsafahnya ke Barat dan dengan begitu mereka (sic!) berupaya menyebarkan bendera-bendera kesejahteraan yang diharapkan bagi mereka pada dunia esuk (sic!)”.

Pada Abul-Hasan rh hal ini tidak akan berlaku melainkan dengan adanya usaha untuk melahirkan generasi terpelajar yang menghimpunkan dalam diri mereka aqidah dan ilmu pengetahuan. Dan ini tidak berlaku tanpa adanya sistem pendidikan yang disusun sesuai dengan akidah dan peradaban Islam yang menggabungkan di dalamnya antara perasaan dan roh, api keimanan dan ilmu yang luas berserta dengan fikiran yang cerdas dan tajam. Ini disertai pula dengan pengetahuan tentang penerokaan-penerokaan ilmu pengetahuan yang terkini yang bermanfaat untuk umat manusia. Dan ini memerlukan sukatan pelajaran baharu dengan ilmu-ilmu yang yang diperlukan dalam satu markas di Timur. Ianya memerlukan cara berfikir dan bertindak yang besar.

Beliau mengutip kata-kata almarhum Badi’uzzman al-Hamdani dengan penuh persetujuan, iaitu:

Ianya adalah satu kejayaan yang bersinar dan di hadapannya kejayaan-kejayaan, para malaikat turut memuji bersama roh, dunia Islam akan melihat kepada seorang pejuang yang bangun mengerjakan tugas-tugas yang akan menyelamatkan ummat ini. (7)

Keperluan kepada Sistem Pendidikan Yang Baharu:

Dalam hubungan dengan keperluan umat kepada sistem pendidkan yang baharu, beliau membuat beberapa kenyataan yang menarik dalam buku tersebut. (8) Beliau menyatakan bahawa perlu dibentuk sistem pelajaran yang baharu yang bersesuaian dengan aqidah Islam dan dasar-dasar hidupnya, tujuan-tujuan, dan kepentingan-kepentingannya, dan perlu dikeluarkan daripada sistem yang baharu itu roh kebendaan, dan semangat menentang peraturan-peraturan Syariat Ilahi, dan dimasukkan ke dalamnya pendidikan bagi memulihkan akhlak manusia; perlu dibersihkan sistem itu daripada penyembahan terhadap benda, dan ditiupkan ke dalamnya roh taqwa dan pengembalian insan kepada Allah dengan keyakinan kepada realiti alam akhirat dan kepekaan terhadap dasar kasihan belas antara sesama manusia seluruhnya.

Beliau menyatakan lagi bahawa perlu dibersihkan daripada sistem yang baharu itu pemikiran Barat yang tidak wajar dalam hubungan dengan disiplin-disiplin ilmu bahasa, sastera, falsafah, ilmu jiwa, ilmu pembangunan ekonomi, dan politik. Semua disiplin-disiplin ilmu ini dikuasai dan diletakkan di bawah roh ilmu-ilmu yang membenteras pengaruh Barat terhadap pemikiran umat dan apa yang mementang kepimpinan Islam dan ketuanannya.

Belau berpendapat dalam buku itu bahawa segala ilmu-ilmu Barat dan teori-teorinya dijadikan sebagai tajuk-tajuk yang dipelajari dan dikaji secara sungguh-sungguh dengan diterangkan kepada para pelajar Islam mengapa ianya berupa satu kesalahan dan bagaimana ia boleh menguasai manusia dan peradabannya. Ilmu-ilmu itu semua hendaklah diletakkan dalam pusat kajian dan dipelajari dengan penuh keberanian dan kebebasan ilmiah. Ianya hendaklah dipandang sebagai “bahan mentah” yang boleh kita olah mengikut keyakinan aqidah dan budaya kita.

Beliau mengakui ini tugas yang berat dan memerlukan masa, tetapi ia perlu dilaksanakan kalau tidak ianya terus menerus akan meracuni umat yang mengancam kewujudan dan keselamatan mereka.

Natijah yang diberikan penekanan dalam sistem yang baharu itu ialah: untuk menimbulkan semangat, pengorbanan, keikhlasan dan kesetiaan mereka yang menjadi asas bagi menegakkan kedaulatan negeri Islam dan membebaskan mana-mana negeri yang terjajah (kalau ada) supaya mereka tidak diseret oleh Barat tanpa disedari.

Beliau menyebut sebagai pengajaran bagaimana rahsianya Inggeris telah berjaya di India misalnya dengan meneruskan pengwujudan ketua-ketua, pegawai-pegawai tinggi dan hakim-hakim yang terdidik dengan pendidikan Barat (Inggeris) tulin yang cukup setia dan taat kepada sistem mereka. Mereka berjaya memaksakan sistem mereka ke atas negeri itu beratus tahun walaupun selepas penjajah itu sudah keluar dari negeri itu. Maka kata beliau, demikian pula, untuk mengubah negeri-negeri Islam dari keadaan yang terbiar dengan unsur-unsur keBaratan mereka, perlu diadakan usaha untuk kembali semula kepada kebenaran-kebenaran Islam dan cara hidupnya melalui pengajaran dan pendidikan Islam terhadap generasi muda Muslimin. Dengan perubahan menyeluruh seperlunya sahaja boleh kita jayakan pendidikan yang sewajarnya bagi mengembalikan identiti umah ini selayaknya.

Kita boleh membuat pengamatan tentang pendapat beliau yang berharga itu dengan memberi perhatian kepada beberapa isu yang dibangkitkannya.

Tentang beberapa unsur yang negatif dan parah yang ada dalam pendidikan moden berdasarkan kepada pengamatan-pengamatan Iqbal rh dalam bidang rohani, intelektuil, moral dan budaya serta krisi identiti diri, itu semua adalah pengataman-pengataman yang sahih dan benar. Dan kita boleh melihat akibat-akibat yang sedemikian masih berterusan sampai sekarang, bahkan dengan unsur-unsur yang semakin bertambah daripada beberapa dekad awal abad ini. Sudah tentu kita tidak mahu perkara ini berterusan dalam negeri-negeri Islam apa lagi kalau ianya menjadi semakin buruk dan parah.

Keduanya tentang keperluan mengadakan perubahan besar-besaran dan menyeluruh, ini juga satu keperluan yang boleh diterima oleh orang-orang yang ada keprihatinan dan kepekaan dalam bidang ini. Dan ianya dipersetujui tanpa perbahasan yang panjang.yang perlu ditelitikan lagi dengan halusinya ialah modus operandinya secara yang amali yang boleh dilaksanakan dalam realiti yang ada di hadapan mata kita sekarang.

Ketiganya, berkenaan dengan mengambil subjek-subjek moden dan memberi huraiannya mengikut faham ilmu atau epistemologi kita dan pandangan hidup kita (mengikut “worldview” dan “epistemology” kita) itu adalah suatu program yang paling wajar dan mesti dilaksanakan. Ianya seperti Pengislaman ilmu-ilmu atau “Islamization of Knowledge” yang dibicarakan oleh alm Prof Isma’il al-Faruqi sebagaimana yang terkandung dalam bukunya dengan judul yang sedemikian itu.

Keempatnya tentu dalam proses itu fakta-fakta yang objektif dalam sains, teknologi dan data-data lain yang bebas nilai (‘value-free’) kekal dengan kedudukannya. Yang berlainan ialah perspektif falsafah dan latar belakang serta cara penafsirannya.

Kelimanya berkenaan dengan pembentukan ciri-ciri taqwa, semangat jihad dan pengorbanan, serta sikap berani dengan kebenaran – itu semua perlu dibentuk dengan adanya suasana yang salih dalam tempat pendidikan selain daripada matapelajarannya dan sifat-sifat gurunya yang akan dibicarakan pada tempat sewajarnya. Ertinya dalam sistem yang baharu itu amalan-amalan akhlak dan rohaniah yang dituntut, selain daripada kecemerlangan intelektuil dan akademik, adalah perkara-perkara yang diambil kira dalam pembentukan peribadi dan pemikiran para pelajar, bukan hanya persijilan secara biasa yang biasa dilakukan.

Mendirikan universiti-universiti Islam

Pada beliau matlamat universiti Islam ialah untuk mengeluarkan para penda’wah kepada jalan Allah, para pekerja untuk da’wah yang mempunyai fahaman yang mendalam dan pandangan yang jauh. Ianya memerlukan persiapan ilmu dan pengetahuan agama yang matang, yang mempunyai kepekaan dan keprihatinan yang membolehkannya meneliti perkembangan terbaharu di zaman moden ini. Berbekalkan keimanan yang teguh dan mendalam para da’I berusaha untuk meneruskan kelangsungan risalah ajaran Islam dan perlaksanaannya bagi semua zaman dan tempat, dengan keyakinan Baginda s.a.w. adalah “khatamun-nabiyin”, yang berupa penyinar jalan kehidupan dan pemimpin untuk seluruh umat manusia, yang datang sebagai “rahmat untuk sekalian alam” (rahmatan lil-‘alamin). Maka keseluruhan universiti Islam itu adalah untuk tujuan ini dengan persiapan teks-teksnya, peraturan-peraturan di dalamnya, nilai-nilainya, dan semua proses-proses kerja di dalamnya. Ini akan berupa pembaharuan yang terlalu amat besar yang dihajati oleh umat ini.

Bahan-Bahan Pendidikan Asasi

Antara bahan-bahan asasi yang diperlukan dalam pendidikan ini ialah Qur’an, Sunnah dan Sirah Nabi s.a.w.

Qur’an yang merupakan mu’jizat yang berupa kebenaran yang kekal abadi mesti dipelajari dan difahami isi kandungannya, dan ianya menjadi sebagai anak kunci pengetahuan dalam erti yang sebenarnya dengan pelbagai pentarafannya. Beriman dengannya ialah beriman dengan seluruh diri dan hati dengan keyakinan yang tidak berganjak, yang datang daripada kefahaman yang jernih dan mendalam. Qur’anlah yang menjadi panduan dalam mentauhidkan Allah dengan Sifat-SifatNya yang Sempurna, dalam meyakini alam ghaib dan akhirat dan dalam beriman kepada dasar-dasar keimanannya. Dengan Quran terdapat panduan tentang hidup dalam pengabdian kepada Tuhan dan dalam melaksanakan ciri-ciri akhlak yang utama dan universal. Dengannya juga difahami kehidupan berdasarkan kepada peraturan-peraturan Syariat Ilahi yang mencakupi seluruh bidang kehidupan manusia. Ianya menjadi panduan bagi menjalankan gerak-kerja da’wah Islamiah dalam masyarakat.

Selepas daripada Qur’an Sunnah menjadi punca kedua keimanan dan penghayatan Islam; melalui Sunnah para pelajar diajar untuk mengatur kehidupannya mengikut aturan-aturan dan norma yang ada di dalamnya yang berpunca daripada insan yang sempurna yang menjadi rahmat untuk seluruh alam dan contoh kesempurnaan manusiawi sejagat. Tuntunan diri dalam ibadat, akhlak dan pergaulan masyarakat terdapat di dalamnya dengan cara yang sebaiknya. Ini adalah selain daripada penelitian secara teknikal berkenaan dengan hadith sebagai disiplin ilmu dalam rangka ilmu-ilmu Ahlis-Sunnah wal-jamaah. Dalam hubungan dengan ini juga perlu diwaspadai pendapat-pendapat orientalis yang terseleweng daripada apa yang sebenarnya.

Dalam melihat Sunnah ini perselisihan mazhab hendaklah ditangani dengan semangat adab ikhtilaf demi untuk menyatupadukan bukan untuk mengapi-apikan perselisihan dalam perkara-perkara furu’iyah.

Ketiganya ialah Sirah Nabawiyyah yang perlu dimasukkan ke dalam sukatan pendidikan yang dikehendaki itu. Pengajaran Sirah hendaklah dijalankan dengan sebegitu rupa sehingga terasa oleh para pelajar bahawa mereka hidup bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w. dan para Sahabatnya, Allah meredhai mereka semuanya. Antara bahannya ialah “Sirah” Ibn Hisyam rh yang boleh dijadkan panduan dalam menangani bidang ini. Dengan berdasarkan kepada teks-teks seperti ini dan yang lainnya yang membantu dalam menyampaikan ilmu ini ke dalam pendidikan maka dijayakanlah usaha meniupkan kesedaran dan penghayatan Islam mengikut contoh peribadi yang paling unggul dalam seluruh sejarah umat manusia. Persoalan-persoalan yang dibawa oleh para sarjana Barat perlu ditangani dengan cara yang berkesan dan meyakinkan supaya tidak timbul rasa syak dan ragu tentang bidang ini oleh pelajar.

Dalam hubungan dengan kefahaman tentang hikmah tasyri’ maka elok dan berfaedah diberi pendedahan kepada para pelajar terhadap falsafah dan tarikh tashri’ secara sepadu, supaya ketaatan kepada syariat di kalangan para pelajar berlaku dalam suasana berdasarkan kepada kefahaman yang wajar dan bukan kepada taklid semata yang membawa kepada kefanatikan mazhab yang jauh daripada wajar. Ini antaranya ditangani dengan baik oleh Syah Waliyu’Llah al-Dihlawi dengan kitabnya Hujjatu’Llah al-Balighah (selain daripada Imam al-Ghazali dengan al-Ihya’nya dan al-‘Izz ibn ‘Abdis-Salam dengan Qawa’id al-Ahkamnya – p). Dengan sikap mengambil kira peredaran zaman dan perkara-perkara yang positif di dalamnya maka dibicarakan panduan hukum dengan maksud-maksud dan hikmat-hikmatnya yang mencakupi masalah seluruh ilmu dan kehidupan.

Yang satu laginya ialah ilmu fiqh dan usul al-fiqh itu sendiri. Beliau berpendapat bahawa dalam hubungan dengan disiplin ini kitab-kitab yang muktabar yang mewakili mazhab-mazhab yang diakui itu perlu dipelajari supaya dengan itu maka para pelajar universiti Islam itu keluar menjadi ahli-ahli ilmu yang mengetahui mazhabnya dengan mendalam dan juga kelainan-kelainan faham dalam mazhab dengan pandangan yang simpatik dan bukan penuh dengan rasa kefanatikan dan permusuhan.

Beliau juga menghendaki supaya sastera Arab dipelajari dengan baik oleh para pelajar kerana ianya membantu dalam membina persiapan ilmu dan jiwa para ahli ilmu dan da’I; penggunaan bahasa Arab yang baik dalam percakapan dan penulisan banyak membantu dalam mempersiapkan para dai’ dan ilmiawan dalam Islam. Kemahiran penulisan yang baik dan percakapan yang fasih perlu dibentuk demi untuk menjayakan pengembangan agama islam dan da’wahnya. Kemahiran mencipta sastera yang baik selain daripada mempelajarinya dengan baik juga diperlukan demi untuk menggantikan sastera yang banyak sifat-sifat negatifnya dengan ciri-ciri sastera yang baik sesuai dengan Quran dan Sunnah. Beliau menyebut bagaimana ramai para da’I kurang bermaya dalam da’wah mereka kerana kurang kemampuan menyampaikan mesej da’wah mereka dengan bahasa yang menarik dan menawan dalam penulisan dan percakapan. (9)

Ilmu-ilmu akademik moden dan Badan Ilmiah yang Berwibawa:

Para pelajar dalam universiti-universiti Islam pada beliau perlu juga mendapat pendedahan yang wajar dalam ilmu-ilmu akademik moden seperti ekonomi, politik, sebahagian yang wajar dari ilmu sains, geografi dan sejarah. Antara imam-imam yang menonjol dalam penguasaan ilmu-ilmu akliah yang ada di zaman mereka masing-masing ialah Imam al-Ghazali rd dan Ibn Taimiyah rh. Beliau menyebut bahawa kalaupun para siswazah universiti Islam tidak sampai ke tahap seperti Imam al-Ghazali dalam penguasaan ilmu-ilmu akli sekurang-kurangnya mereka itu berkemampuan seperti paderi-paderi Kristian yang mendapat untuk seruan agama mereka di pusat pengajian dan latihan mereka di Vatican, Rom. Beliau menyatakan bahawa orang-orang yang tidak mempunyai ilmu dan tidak melebihi taraf ilmunya atas umum ahli masyarakatnya tidak mampu melaksanakan tugasnya dengan berkesan dan ia tidak akan bahagia dan mulia dalam masyarakatnya.

Pendapat beliau berkenaan dengan keperluan penguasaan ilmu-ilmu asas Islam tentang Quran, Sunnah, Sirah, Fiqh, Usul al-Fiqh, sejarah dan Falsafah Tashri’ dengan baik adalah pendapat yang paling kuat hujahnya dan tidak perlu dipertikaikan. Yang perlu dilakukan ialah bagaimana hendak menyusun pendidikan itu supaya penguasaan ke atas ilmu-ilmu itu berjalan dengan baik dan berkesan dalam kadar masa pengajian yang ditentukan beberapa tahun untuk ijazah sarjana muda, sarjana penuh dan peringkat kedoktoran dan pengajian lanjutan pasca-doktoral. Tentang pengajian-pengajian itu elok ditambahkan bahawa ilmu usul al-din klasik juga perlu dikuasai berdasarkan kepada teks-teks muktabar Sunninya dan juga perlu ditambah dengan kefahaman terhadap pemikiran moden dan pasca-modenisme serta kritikan-kritikan yang serius terhadapnya.

Pendapatnya tentang pendedahan yang baik dalam sastera Arab yang melibatkan pula latihan penulisan dan penggunaan bahasa percakapan yang fasih juga merupakan pendapat yang perlu diberikan perhatian yang serius dan dilaksanakan program bagi menjayakannya. Dan dalam suasana sekarang, kalau berbicara tentang negara kita kemahiran dalam bahasa Melayu dan Inggeris bahkan bahasa Cina juga juga diperlukan demi untuk menjayakan da’wah dalam rangka yang lebih luas.

Pendapatnya tentang keperluan menggantikan sastera yang banyak ciri-ciri negatifnya dengan sastera Islam dan Arab yang mempunyai ciri-ciri yang baik dan bermanfaat sesuai dengan ajaran Quran dan Sunnah perlu mendapat perhatian dan menjemput tindakan yang berkesan dan langkah-langkah amali ke arah perlaksanaannya.

Pendapatnya tentang keperluan kepada pendedahan tentang disiplin-disiplin ilmu moden kepada para pelajar dan siswazah universiti Islam adalah pendapat yang baik dan bergunakan bahkan diperlukan demi untuk mengeluarkan para da’I yang berfungsi dengan berkesan dalam bidang mereka. Yang diperlukan ialah bagaimana hendak diambil langkah-langkah menyusun subjek-subjek itu dalam kurikulum yang amali dan membahagi-bahagikan masa pengajian sesuai dengan beberapa tahun pengajian yang ditentukan; bersekali dengan itu perlu ditimbulkan keperluan memberi pendedahan tentang ilmu-ilmu itu sesuai dengan epistemologi Islam Sunni supaya perspektifnya bukan bercanggah dengan Islam. Ini adalah sudah tentunya dengan mengambil kira fakta-fakta yang bebas-nilai yang keadaannya tidak berubah-ubah dalam mana-mana budaya sekalipun seperti H2O dalam hubungan dengan hakikat air dan e=mc2 dalam hubungan dengan tenaga.

Dalam hubungan dengan keperluan kepada badan ilmiah yang berwibawa beliau menyatakan pendapatnya bahawa perlu sekali ada dalam umat ini badan ilmiah yang menyusun kitab-kitab dan buku-buku dalam ilmu-ilmu yang diperlukan dengan membukukan hasil-hasil kajian dan rujukan yang telah dilakukan dengan teliti dan bersungguh-sungguh demi untuk menanam dan menguatkan akidah Islam disamping menjayakan pemaduan dan hubungan rapat dan mesra antara ilmu pengetahuan dan agama. Beliau menyatakan pendapatnya bagaimana negeri-negeri Islam telah kehilangan kemampuan untuk mengeluarkan bahan-bahan kajian ilmiah yang sangat diperlukan oleh masyarakat dan generasi kita yang baharu. (10) Beliau menyatakan bahawa itulah sebenarnya yang boleh menjauhkan daripada adanya pertentangan antara agama dan ilmu pengetahuan yang sebenarnya memang tidk ada dalam Islam.

Berlainan keadaannya yang telah berlaku di Barat yang memang menunjukkan beberapa kali pertentangan antara agama dan pengetahuan dan sains. Beliau menyatakan bahawa dengan diadakan penyelidikan dan penerbitan berdasarkan kajian-kajian akan berkuranglah penentangan terhadap agama. Dalam hubungan dengan program demikian ini beliau menaruh kepercayaan bahawa ahli-ahli ilmiah umat ini boleh melakukan usaha ini bila mereka benar-benar mahu mengisi kekosongan yang sangat menonjol ini dalam pelbagai bidang pengetahuan dengan pakar-pakarnya yang ada sekarang.

Tentang badan ilmiah ini memang ianya sesuatu yang sangat-sangat diperlukan. Badan-badan ilmiah di kalangan Muslimin di dunia sekarang ini sepatutnya mengadakan jaringan hubungan yang “synergistic” demi menjayakan program-program yang melewati sempadan negara-negara untuk menguatkan umat dan identitinya dalam dunia global yang penuh cabaran ini.

Dan dalam hubungan dengan persiapan dalam bidang keilmuan ini kita boleh menambahkan sokongan kita terhadap pendapat-pendapat maulana ini dengan menyebutkan keperluan umat Islam dan para ilmuannya menguasai bidang IT dengan baik demi untuk menjayakan budaya ilmu yang cergas dan berkesan. Buat sekarang sekurang-kurangnya software yang bersifat Islam dengan mesej dan da’wahnya perlu diperbanyakkan demi menjayakan penyebaran Islam dan ajarannya serta nilai-nilai dan ciri-ciri peradaban “khaira ummatin”nya ke mata dunia. Ini ialah selain daripada keperluan memperbanyakkan laman-laman web Islam yang ada dengan pelbagai isinya bermula daripada perkara-perkara pokok dan asasi sampailah kepada persoalan intelektuil dan rohaniah serta moral pada tahap akademik yang paling tinggi. Kita mahu melihat “kehadhiran” umat terbaik ini dalam dunia siber secara berkesan.

Para Guru Murabbi Yang Beriman dan Berkaliber

Antara yang dibicarakan oleh maulana ini dalam hubungan dengan persoalan pendidikan ialah isu guru yang berkaliber dan beriman kental. Pada pendapat beliau kalaulah kita banyak kehilangan peluang keemasan pada masa lampau dengan beberapa keterlanjuran kita dalam banyak perkara, maka sekarang kita boleh mengatasi masalah-masalah itu dengan para guru kita menghimpunkan mata-mata pelajaran yang menjadi asas akidah yang menjadikan seseorang itu tunduk kepada kebenaran-kebenaran keagamaan yang kekal abadi dengan mata-mata pelajaran moden yang berfaedah. Mereka yang menjalankan tugas itu adalah mereka yang boleh memisahkan antara kulit dengan isi sesuatu itu dan antara yang benar dengan yang palsu dan pemikiran yang berupa teori-teori mentah atau separuh masak dengan pemikiran yang matang dan teruji, orang-orang yang tidak terkeliru dengan pengakuan-pengakuan tanpa bukti dan dalil, bahkan mereka merupakan orang-orang yang berpegang sentiasa kepada hasil kajian yang objektif.

Beliau menyatakan bahawa anak kunci bagi universiti yang diidam-idamkan ini ialah keberadaan para guru yang menghimpunkan dalam peribadi mereka keimanan yang kuat dengan ilmu pengetahuan yang luas dan mendalam berserta dengan kepimpinan yang baik dengan pelajaran yang luas jangkauan ilmiahnya yang menggabungkan antara yang lama dengan keasliannya dan yang baharu yang berfaedah dan mereka memahami semangat masakini (“the spirit of the times”). Mereka juga hendaklah orang-orang yang memahami tindakan-tindakan para pemuda pemudi dan gelora jiwa mereka serta dengan penuh kefahaman dan simpati mencari jalan untuk menyelesaikan masalah mereka dengan semangat pengajaran “kasih sayang antara sesama mereka” (“ruhama’ bainahum”).

Tafakur beliau tentang keperibadian para guru mengingatkan penulis ini kepada ciri-ciri jatidiri guru yang beliau huraikan hampir dua puluh tahun lalu dalam suatu persidangan antarabangsa anjuran CAP di mana beliau memberi huraian tentang guru dalam proses pendidikan dalam sejarah dan ajaran Islam sebagai yang terkandung dalam pengertian yang mendalam atas istilah “mu’allim” iaitu sebagai guru mahir ahli ilmu yang menjayakan proses pengilmuan sebenarnya secara bertanggungjawab dan berkesan; istilah “murabbi” sebagai penuntun diri dan perkembangan ilmu, rohani dan moral pelajar tahap demi tahap sampailah kepada kesempurnaan tujuan kejadiannya sebagai insan; istilah “murshid” sebagai penuntun jalan hidup yang benar dan betul dengan nilai dan sikap yang benar dan betul dalam hidup dan profesi sebagai hamba Allah dan khalifahNya di muka bumi; istilah “mu’addib” yang melaksanakan pendidikan adab dalam pengertian yang luas dan mendalam dalam peribadi dan kehidupan murid. Dengan itu timbullah natijah pendidikan menjadikan para murid insan yang paling beradab dan bermoral sebenarnya. Akhirnya guru sebagai “mudarris” yang paling mahir dalam ilmunya dan paling cekap dan berkesan mengajarkan matapelajaran kepada muridnya sampai muridnya menjadi pelajar yang berjaya dan gemilang dalam pendidikannya. (11) Maka perlu diperjuangkan dengan berkesan supaya keberadaan para guru sebagai mu’allim, murabbi, mu’addib, murshid dan mudarris dalam pengertian yang paling mendalam seperti yang dimaksudkan dalam Tradisi Islam itu menjadi nyata di kalangan kita.

Tentang maulana ini mahukan para guru dan murid Muslim menjadi orang yang berperibadi rohani dan moral yang unggul selain daripada penguasaan ilmu pengetahuan, maklumat dan hikmah kebijaksanaan, ini jelas daripada kandungan bukunya yang menarik dan bermanfaat sekali dalam Bahasa Arab yang berhjudul Al-‘Aqidah wal-‘Ibadah was-Suluk fi Daw’ al-Kitab was-Sunnah was-Sirah an-nabawiyyah.

Isinya berbicara berkenaan dengan ciri-ciri agama ini yang perlu diambil perhatian oleh ahli ilmu Islam dan para da’I serta pengamalnya seperti aqidah Sunninya, yang mendahului segala; tuntutan mencari keredhaan Allah dalam semua amalan manusia; peri semua anbiya datang mementingkan akidah, da’wah dan syariah; bagaimana pentingnya keyakinan tentang realiti akhirat dijayakan dalam hati manusia; bagaimana hukum sebenarnya yang hakiki adalah dari Allah; bagaimana rapatnya hubungan antara para anbiya dan umat mereka; bagaimana kebahagiaan manusia yang hakiki tergantung kepada penerimaan aqidah dan syariah Ilahi dari pihak mereka; bagaimana umat ini adalah umat yang diberi rahmat Ilahi dan bagaimana kitab ajarannya terjaga oleh Allah. Selepas menyebut beberapa segi aqidah beliau menunjukkan akhlak yang mulia dan amalan-amalan rohaniah dan doa-doa serta ibadat yang perlu dilakukan bagi menjaga keimanan dan kesalihan hidup manusia.

Dalam mukaddimahnya beliau menyebut adanya dalam umat Islam ini kitab-kitab bimbingan yang membentuk hidup rohaniah, akliah dan moral yang tinggi untuk menimbulkan proses perbaikan dan pembersihan dalam peribadi manusia dan kehidupan serta peradaban mereka.

Mungkin sebagai tambahan dalam berbicara tentang pelajaran dan bahannya kita boleh menyebutkan bagaimana perlu difikirkan dengan matang usaha amali untuk menjayakan pendidikan Islam peringkat rendah, menengah dan menengah atas supaya ciri-ciri pendidikan Islam yang dikehendaki itu berlaku juga dalam sekolah-sekolah yang pada lahirnya bukan sekolah agama sebab keberadaan ciri-ciri pendidikan Islam yang merentas kurikulum yang boleh dan perlu dijayakan selain daripada mata-mata pelajaran Islam itu sendiri.

Nota-hujung:

(1) Antaranya lihat Syed Abul-Hasan Ali al-Nadawi, Riwayat Hidup Rasulullah, terjemahan Bey Ariffin dan Yunus Ali Muhdhar, Pustaka Nasional Singapura, 1986, hlm xxv-xxviii; idem, Ke Arah Pendidikan Islam yang Tulin, terjemahan Abdul Kader Kahar, Pustaka Ikhwan, Alor Star, Kedah, 1986, hlm 4-8. Penulis ini dengan rasa syukur tidak terhingga kepada Allah, dan merasa berterima kasih yang sebanyaknya, dengan kata-kata “jazakallahu khairan kathira” kepada sahabatnya Ustaz Fahmi ZamZam dari Ma’had Derang, Kedah, kerana menghantar buku ini melalui faks untuk kegunaan beliau dalam menyediakan kertas ini.

(2) Terjemahan Muhammad Asif Qidwa’I, 1961, Lahore, hlm 193-194

(3) Ibid. hlm 194

(4) The Glory of Iqbal, terjemahan Inggeris oleh Mohammad Asaf Qidwa’I, Academy of Islamic Research and Publications, Lucknow, 1973 hlm 59-69

(5) Terjemahan Abdul Kader Kahar, Pustaka Ikhwan, Alor Star, Cetakan I, hlm 37-54

(6) ibid. 35-37

(7) ibid. 36

(8) ibid. 32

(9) ibid. hlm 60-61

(10) Dalam hubungan dengan sains dan penyelidikannya maklumat terkini menyatakan bahawa kadar penyelidikan saintifik di negeri-negeri Arab terlalu kurang berbanding dengan negeri seperti Amerika Syuarikat sebagaimana yang dinyatakan dalam persidangan ahli-ahli sains di negeri Teluk baharu belum sampai sebulan ini.

(11) Dalam buku Islam, Peribadi, Tarbiah dan Institusi, Kota Bharu, Kelantan, hlm 146-150 di mana pertama kali dihuraikan lima istilah itu secara tersusun

Bibliografi ringkas:

Syed Abul Hasan ‘Ali al-Nadawi, Glory of Iqbal,tr Inggeris oleh Mohammad Asaf Qidwa’i Academy of Islamic Research and Publications, Lucknow, 1973.

Idem., Islam and The World, tr Muhammad Asaf Qidwa’I, Academy of Islamic Research and Publications, 1961.

Idem., Pertentangan Antara Iman dengan Materialisma, terjemahan Melayu Asad bin Awang dan Ab. Malek bin Shaari, Petaling Jaya, 1986.

Idem.,Islamic Concept of Prophethood, terjemahan Inggeris oleh Mohiuddin Ahmad, Academy of Islamic Research and Publications, 1976.

Idem., Saviors of Islamic Spirit, terjemahan Inggeris oleh Muhiuddin Ahmad, Lucknow, Academy of Islamic Research and Publications, dlm 4 jilid.

Idem., Riwayat Hidup Rasulullah saw, terjemahan Melayu oleh Bey Ariffin dan Yunus Ali Muhdhar, Pustaka Nasional, Singapura, 1991.

Idem., Apa Derita Dunia Bila Islam Mundur, terjemahan oleh H. Zubeir Ahmad dengan penyuntingan H. Ramlan Mardjoned dan M. Nabhan Husein, Media Da’wah dan Thinkers Library, 1986 Malaysia, 1983 Indonesia.

Idem.,terjemahan Abu Laila dan Muhammad Tohir atas buku yang sama, Bandung, tanpa tarikh.

Idem., al-‘Aqidah wal-‘Ibadah was-Sirah was-Suluk fi Daw’ a-Kitab was-Sunnah was-Sirah an-nabawiyyah, Majma’ al-‘Ilmi al-Islami (Nadwatul-‘Ulama), Lucknow, 1983.

Idem., Ke Arah Pendidikan Islam yang Tulin, terjemahan Abdul Kader Kahar, Pustaka Ikhwan, Alor Star, Kedah, 1986.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: