Tips Penjagaan Gigi Kanak-kanak

Bersihkan mulut selepas menyusu
Oleh Siti Zarinah Sahib

ELAK…usah biarkan anak tidur dengan botol susu di mulut kerana ia juga boleh menyebabkan kerosakan gigi.
GIGI SIHAT…gigi kanak-kanak yang sihat tersusun cantik tanpa masalah karies gigi. ARYANA baru berusia tiga tahun, tetapi hampir keseluruhan gigi hadapannya sudah rosak dan berwarna hitam. Kadangkala apabila makan makanan manis, dia mengadu sakit gigi namun tiada apa yang boleh dilakukan doktor selain meminta Aryana mengurangkan makanan manis dan menunggu sehingga gigi kekalnya tumbuh apabila dia berusia lima tahun.

Masalah dilalui Aryana mungkin dilalui ramai kanak-kanak lain. Sebahagian kanak-kanak pada usia tiga tahun menghadapi masalah kerosakan gigi serta gigi reput yang disebabkan kurangnya penjagaan.

Menurut Pakar Perunding dan Pensyarah Kanan Pergigian Pediatrik, Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Alida Mahyuddin, kerosakan gigi susu sering berlaku pada awal usia kanak-kanak disebabkan faktor pemakanan mereka.

Namun sekiranya ibu bapa mengawal jumlah pengambilan makanan manis, gigi susu berkenaan akan kekal cantik sehingga diganti gigi kekal.

Menurut Dr Alida, gigi susu ialah gigi yang mula tumbuh ketika bayi berusia enam bulan ke atas dan akan diganti dengan gigi kekal bermula pada umur kanak-kanak lima hingga enam tahun.

Menjelang umur kanak-kanak tiga tahun, gigi susu akan lengkap tumbuh sepenuhnya, sebanyak 20 batang.

Bagi gigi kekal pula, menjelang umur kanak-kanak 13 tahun, jumlah gigi kekal adalah sebanyak 28 batang. Gigi geraham bongsu hanya akan tumbuh untuk sesetengah orang selepas umur 18 tahun.

Gigi susu mempunyai beberapa peranan yang penting. Antaranya membolehkan kanak-kanak mengunyah dengan baik (bagi memastikan kanak-kanak mendapat zat yang secukupnya untuk tumbesaran), terbabit dalam perkembangan pertuturan dan membantu gigi kekal tumbuh dengan lebih teratur.

Gigi yang sihat akan menjadikan kanak-kanak lebih berkeyakinan daripada segi mental, fizikal dan sosial.

Justeru, sangat penting bagi ibu bapa memastikan anak-anak mendapat penjagaan gigi sepenuhnya bermula ketika lahir iaitu sebelum gigi tumbuh.

“Setiap kali selepas bayi menyusu, bersihkan dalam mulut bayi menggunakan sapu tangan atau kain bersih yang lembap. Apabila gigi mulai tumbuh, gunakan berus gigi lembut khas untuk bayi,” katanya.

Menurut Dr Alida, kanak-kanak perlu didedahkan dengan kaedah memberus gigi yang betul sejak mereka tumbuh gigi yang pertama bagi membiasakan mereka dengan berus gigi.

Ketika mula tumbuh gigi sehingga umur lima tahun, ibu bapa perlu memberus gigi kanak-kanak. Selepas umur ini, kanak-kanak boleh cuba untuk melakukannya sendiri, tetapi hendaklah sentiasa dipantau ibu bapa supaya terjamin kebersihannya.

“Ketika kanak-kanak masih bayi sehingga umurnya dua tahun, lebih mudah jika ibu bapa meriba anak-anak mereka dan gigi diberus dari arah belakang.

“Dengan ini, kepala anak-anak mereka dapat diampu atau disokong pada dada ibu bapa ketika gigi diberus. Lebih mudah sekiranya dibuat mengadap cermin.

“Untuk kanak-kanak prasekolah, tidak disyorkan teknik memberus gigi yang tertentu kerana tahap kemahiran motor halus mereka adalah rendah.

“Memadai dengan memastikan semua gigi diberus dengan baik,” katanya yang menasihati ibu bapa supaya memilih berus gigi berkepala kecil serta berbulu lembut manakala pemegang berbatang yang besar lebih memudahkan kanak-kanak mengawal berus gigi.

Menurutnya, terdapat pelbagai faktor menyebabkan kerosakan gigi. Secara amnya, gigi rosak, berlubang dan berkaries disebabkan bakteria tertentu di dalam mulut yang berupaya menghasilkan asid daripada gula dan karbohidrat yang dimakan.

Asid ini akan melarutkan lapisan luar gigi. Selepas jangka masa tertentu dan proses perlarutan ini berlaku berulang kali, kaviti, lubang, dan karies pada gigi akan terbentuk.

“Karies gigi adalah adalah satu penyakit kronik. Walaupun berlaku hanya pada gigi, ia boleh mempengaruhi kualiti hidup kanak-kanak.

“Mereka yang mengalami kerosakan gigi yang teruk mungkin mengalami kekurangan berat badan, menjejaskan tumpuan belajar, mengganggu persekolahan dan membuatkan kanak-kanak tidak mempunyai keyakinan diri.

“Justeru, pencegahan karies dapat dilakukan dengan memberi anak-anak diet seimbang serta mengehadkan pengambilan makanan manis dalam waktu makan utama saja.

“Untuk mengurangkan risiko berlakunya karies gigi, kekerapan penghasilan asid oleh bakteria penyebab karies perlu dihadkan.

“Tidak salah memakan makanan manis, tetapi hadkan pengambilan makanan itu pada waktu makan saja iaitu sebagai pencuci mulut.

“Contohnya selepas makan nasi, boleh makan coklat. Elakkan makan makanan manis di luar waktu makan utama atau menggunakan ia sebagai snek. Selepas makan makanan manis, berus gigi atau sekurang-kurangnya kumur mulut dengan air kosong selepas makan,” jelasnya.

Selain itu, berus gigi dua kali sehari dari waktu tumbuhnya gigi menggunakan air. Bermula daripada umur dua tahun, ibu bapa boleh menggunakan ubat gigi kanak-kanak berflorida. Jangan berkumur, memadai dengan meludah keluar saja ubat gigi.

Berjumpa dengan doktor gigi setiap enam bulan sekali membantu mengatasi gigi rosak. Lawatan pertama berjumpa doktor gigi seharusnya bermula dari masa tumbuhnya gigi susu yang pertama atau selewat-lewatnya menjelang umur setahun.

Ini membolehkan doktor gigi memberi nasihat tabiat penjagaan gigi yang betul serta memantau daripada berlakunya kerosakan gigi. Kanak-kanak yang dibawa berjumpa doktor gigi dari awal akan mempunyai tingkah laku positif terhadap rawatan pergigian.

Menurut Dr Alida, kebanyakan ibu bapa tidak tahu kerosakan gigi kanak-kanak adalah disebabkan menyusu ketika tidur. Ini kerana bakteria penyebab karies gigi berupaya menghasilkan asid daripada gula (laktosa) yang terkandung di dalam susu dan membentuk karies. Lebih-lebih lagi ketika tidur, rembesan air liur akan berkurangan. Air liur mengandungi komponen yang berupaya meneutralkan asid yang dihasilkan bakteria.

“Justeru, jangan biarkan anak-anak tidur dengan botol susu di mulut. Galakkan anak-anak meminum susu menggunakan cawan bermula umur 12 bulan atau 14 bulan,” katanya.

Tambahnya, ada ibu bapa beranggapan ada makanan yang boleh menguatkan gigi namun sebenarnya semua makanan boleh dimakan cuma hadkan pengambilannya saja. Ini kerana gigi sudah terbentuk sejak dalam kandungan lagi, justeru, penting bagi ibu mendapatkan kalsium secukupnya ketika mengandung.

Keratan artikel dripada Surat Khabar Harian Metro

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 72 other followers

%d bloggers like this: